Kamal Adli Dilamar Pelakon Jelita?

Dalam diam, Puteri Aishah telah melamar Kamal Adli? Agak janggal kedengaran tetapi memang benar dan tiada salahnya. Memang benar Puteri Aishah melamar Kamal Adli untuk menjadi suaminya  dalam drama terbaharu yang menggandingkan mereka berdua iaitu Utusan Cinta Buat Adam di slot Akasia. 

Kali ini Kamal Adli kembali beraksi sebagai watak utama di samping Puteri Aishah dalam drama adaptasi novel nukilan Myra Ameer yang telahpun mula menemui penonton 3 Julai 2019 menerusi slot Akasia. Drama 28 episod yang diarahkan oleh Along Kamaludin ini turut menampilkan pelakon hebat seperti Sharifah Sakinah, Kartina Aziz, Nazeera Sardi, Nazrief Nazri,  Sharifah Shahora, Aleeza Kasim, Kuza, Noniswara dan ramai lagi. 

Utusan cinta buat Adam mengisahkan mengenai Aireen Husna (Puteri Sarah), seorang arkitek yang berusia awal 30-an dan masih belum berkahwin. Disebabkan terlalu mengejar cita-cita untuk menjadi arkitek, dia masih belum berumahtangga. Ibunya, Puan Azra (Noniswara) mulai risau tetapi Aireen tetap tenang. Dia mahu seorang lelaki yang kuat agamanya untuk dijadikan suami.

Bertemu secara tidak sengaja di sebuah Masjid, Aireen terpaut dan suka melihat Adam Firdaus (Kamal Adli). Tetapi sayangnya dia tidak tahu siapa Adam sebenarnya. Ketika menemani mak cik Liza (Sharifah Shahora), ibu saudaranya membeli barang perkahwinan sepupunya, sekali lagi dia terserempak dengan Adam yang sedang berbual dengan mak cik Liza. Ketika itu Adam juga baru selesai solat di surau berdekatan. Tidak mahu melepaskan peluang, Aireen terus mengorek rahsia tentang siapa Adam sebenarnya.

Pertemuan tersebut semakin menguatkan lagi keinginan Aireen untuk memiliki Adam lebih-lebih lagi selepas dia membaca sebuah buku tentang kisah cinta Siti Khadijah dan Rasulullah. Kagum dengan kesungguhan Siti Khadijah untuk memiliki Rasulullah, Aireen tekad melamar Adam lalu dia meminta mak cik Liza untuk menjadi perantaranya.

Apabila mengetahui dirinya di lamar seorang gadis yang tidak dikenali, Adam bingung. Biarpun dia sudah berusia tetapi dia belum terdesak lagi untuk menerima lamaran tersebut. Tetapi kerana tidak tahan dengan desakan oleh tok wan yang mahu dia berkahwin dengan Liyana (Sharifah Sakinah), seorang gadis di kampung yang tidak disenanginya, akhirnya Adam menerima lamaran Aireen.

Selepas bertunang, mereka langsung tidak pernah berhubung. Persetujuan Adam menerima lamaran tersebut menggembirakan semua ahli keluarganya kecuali tok wan yang merasakan Adam menderhaka kerana menolak pilihannya. Kemarahan tok wan semakin menjadi-jadi apabila Adam dan Aireen tetap disatukan walaupun puas dia menghalang.

Kali pertama terpandangkan Aireen di hari pernikahan mereka, Adam terduduk kerana tidak menyangka gadis yang sudah beberapa kali ditemuinya itu adalah isterinya. Adam gembira kerana sememangnya dia sudah jatuh hati pada Aireen sejak pertama kali melihat Aireen.

Perkahwinan Adam dan Aireen walaupun tanpa cinta tetap berjalan dengan sempurna. Saling lengkap melengkapi dan penuh dengan rasa kasih sayang. Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Tok wan Adam mula campur tangan. Tok wan tidak sukakan Aireen dan dia sentiasa mencari jalan untuk memisahkan mereka berdua. Adakah niat jahat Tok Wan akan berjaya berjaya meruntuhkan mahligai cinta yang dibina Adam dan Aireen?

Saksikan kesudahan perjalanan cinta mereka setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam hanya di TV3!

 

SGMS Faida