Kamal Adli Terharu, Uqasha Buat Kejutan Sempena Hari Lahir Ke-37 -“Awak Dah Terlebih Manis Daripada Gula”

Pelakon popular, Kamal Adli berasa terharu apabila isterinya yang juga pelakon, Uqasha Senrose tampil membuat kejutan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-37 baru-baru ini.

Menurut Kamal, dia bukan sahaja berterima kasih kepada isterinya itu kerana dapat mengembalikan senyumannya, malah Uqasha sentiasa menjaga dan memberikan semangat untuknya selepas insiden malang yang berlaku di Singapura pada Mac lalu.

Menerusi hantaran di Instagram Story miliknya, Uqasha membuat kejutan tersebut di Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2023 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur pada Ahad.

“Salam, happy birthday to me.. terima kasih sayang untuk kejutan dan juga kek. Sayang dah terlebih-lebih manis dari gula.

“Terima kasih jaga diriku sejak dari insiden tu sampailah saya dapat senyum ni. Saya sayangkan awak! Terima kasih juga untuk smeua yang dah berikan ucapan dan doa untuk saya,”katanya.

Kamal dan Uqasha ketika meraiakn sambutan hari lahirnya yang ke-37 pada Ahad.

Dalam pada itu, pelakon drama rantaian Bukan Kahwin Paksa ini juga mengaku, masih mengalami trauma disebabkan insiden malang itu sekaligus  meminta maaf kepada peminat sekiranya terdapat sebarang kekurangan termasuklah layanan yang diberikan ketika festival tersebut berlangsung.

“Maaf tak dapat nak reply semua tapi saya betul-betul hargai doa semua dari dulu dan lagi-lagi lepas kena ketuk tu. Alhamdulillah,  saya masih bernafas syukur kepada Allah.

“Saya masih ada sikit-sikit trauma, yang diam lama maaf ya. Semoga Allah memberkati anda semua,” jelasnya.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha mengejutkan ramai pihak apabila memaklumkan telah diserang oleh individu yang tidak dikenali ketika acara Hari Raya Mega Sale yang berlangsung di Singapura.

Akibat kejadian tersebut, Kamal mengalami kecederaan serius dibahagian kepalanya.

Bagaimanapun, suspek yang didakwa memukul Kamal menggunakan cota itu telah ditahan dan kini menjalani pemeriksaan psikiatrik di Singapura.

 

Salma Syahbuddin