“Kami Hanya Hadir Menjawab Tuntutan”- Peguam Bekas Isteri Sam Bunkface

Peguam yang mewakili bekas isteri Sam Bunkface, Aida Azira Hussin iaitu Yusfa Hanis Yussoff memohon agar orang ramai tidak terlalu cepat untuk membuat spekulasi selepas penyanyi itu membuat pendedahan di laman Instagram.

Tegas Yusfa, semua perkara masih belum diputuskan oleh mahkamah dan kes ubah perintah nafkah anak telah difailkan oleh Sam sendiri

“Untuk mereka yang kurang jelas, kes di mahkamah yang sedang berjalan adalah kes perbicaraan ubah perintah nafkah anak. Ia difailkan oleh Sam dan pihak kami hadir menjawab tuntutan yang telah Sam failkan. Sam mahu kurangkan nafkah anak.

“Pada awalnya, tahun 2020, Sam sudah bersetuju untuk memberikan nafkah kepada anak sebanyak RM1,300. Pada 2021, Sam membuka semula kes ini untuk mengurangkan jumlah nafkah anak kepada jumlah yang belum dapat dipastikan.

“Bukan kami yang failkan, kami hadir ke mahkamnah untuk menjawab dan membela diri serta memberi sebab mengapa kita tidak bersetuju dengan perkara terbabit. Jadi, jangan timbulkan sebarang spekulasi kerana kes masih berjalan.

“Anak guam saya akan tetap mempertahankan haknya. Dia bukan seorang selebriti, dia juga tidak mempunyai pengaruh dan hanyalah orang biasa sahaja. Tapi, janganlah cepat membuat spekulasi berdasarkan kenyataan sebelah pihak. Penting untuk orang ramai berfikiran terbuka kerana semua perkara ada dua sisi dan dua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai sebutan kes yang berlangsung tengah hari tadi, Yusfa menjelaskan semuanya berjalan dengan baik.

“Sebutan kes sebentar tadi pula berjalan dengan baik. Prosiding bersambung dengan keeterangan di pihak Aida sebagai defendan dan ia masih belum selesai. Mahkamah telah menetapkan tarikh lain untuk menyambung keterangan bagi pihak Aida,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sebab Aida memfailkan hak penjagaan anak, Yusfa merasakan ia wajar untuk memudahkan urusan penjagaan anak mereka, Maleeq, 7.

“Berkaitan hak penjagaan anak atau hadhanah, isu itu memang pihak kami yang failkan. Ini untuk mendapatkan satu perintah mahkamah mengenai siapa yang perlu jaga anak dan siapa yang diberikan hak lawatan.

“Sepanjang mereka berpisah sejak 2019 sehingga ke hari ini, belum ada perintah yang diputuskan oleh mahkamah mengenai anak ini bakal dijaga oleh ibu atau bapa dan siapa yang akan melawat.

“Kenapa ia difailkan? Bagi saya selaku peguam Aida, ia wajar dan penting untuk menyelesaikan masalah dan memudahkan urusan menjaga dan melawat anak-anak.

“Dengan adanya hak penjagaan anak, adanya perintah mahkamah, kedua-dua pihak akan diberikan keadilan yang sewajarnya oleh undang-undang syariah di Malaysia,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.

Aida yang bertugas sebagai penerbit tidak bersetuju dengan permohonan dibuat vokalis Bunkface itu, selain memohon bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.

Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.

Padin