Kecewa Konsert Dibatalkan, Hael Husaini Ingin Terus Bangkit – “Kalau Ada Rezeki Saya Cuba Lakukan Sendiri”

Penyanyi Hael Husaini tampil memberikan komen mengenai konsert pertamanya, Hael Husaini Live in Kuala Lumpur yang terpaksa dibatalkan.

Sebelum ini, pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment telah memaklumkan konsert yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari lepas terpaksa dibatalkan kerana kesihatan Hael yang tidak mengizinkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hael Husaini Live In KL Dibatalkan

Biarpun kecewa tidak dapat menjayakan konsert pertamanya, Hael tetap akur dan menganggap tiada rezeki buatnya kali ini.

“Konsert daripada Rocketfuel telah ditunda atas beberapa masalah yang saya rasa mereka pun telah selesaikan. Itu daripada segi pengurusan.

“Insya-Allah, untuk konsert saya yang akan datang, kalau ada rezeki dalam tahun ini saya akan cuba melakukan sendiri.

“Sudah tentu saya kecewa sebab ini konsert pertama saya yang saya sangat teruja. Saya rasa dah lakukan 70 peratus untuk konsert itu. Tapi bila konsert tu tak jadi, saya anggap bukan rezeki,” katanya.

Enggan mengulas sebab lain yang menjadi punca konsert tersebut ditunda, pihak pengurusan pelantun lagu Jampi itu bagaimanpun meluahkan rasa lega dengan kondisi penyanyi itu yang semakin pulih.

“Tak ada masalah, kita dah cakap dia tak berapa sihat. Untuk tahun ini, Alhamdulillah, dia dah boleh balik. Kalau ada rezeki kita boleh tengok balik sekiranya ada rezeki lain,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Hael juga sempat berkongsikan perkembangan terkini kesihatannya yang masih dalam fasa pemulihan.

“Masalah kesihatan, kalau nak ikutkan secara jujurnya benda ini telah diputuskan oleh pihak pengurusan saya dan mereka membenarkan saya untuk berehat untuk melakukan apa-apa konsert supaya tidak terjejas dalam masa yang lama.

“Sebenarnya banyak kurus ni sebab banyak benda yang saya kena cut sebab dalam masa saya nak sembuh tu banyak benda yang saya kena jaga dari segi kesihatan dan pemakanan.

“Saya rasa dah kurus tiga kampit ni. Sekarang ni berat saya berbanding dulu lebih kurang tapi sihat, itu yang penting,” jelasnya.

Fatin Nurain