Kekal Fit Diusia 56 Tahun, Rosyam Nor Tak Terfikir Mahu Tayang Badan – “Saya Orang Islam, Jadi Saya Rasa Benda Tu Tak Penting”

Pelakon versatile, Datuk Rosyam Nor menganggap usia sepertinya bukan lagi zaman untuk berlumba-lumba mendapatkan bentuk badan ‘sado’ atau menayangkan bentuk badan kepada umum.

Katanya, mempunyai penampilan yang sederhana tanpa perut buncit sudah memadai dan membuatkan dia berasa gembira.

“Mungkin di Hollywood dan Bollywood berbeza, mereka boleh jual badan tapi saya orang Melayu, saya orang Islam jadi saya rasa itu tak penting. Cukup lah kalau saya tampil dengan fizikal perut tak boyot dan tak menggeleber.

“Saya rasa dalam usia saya itu dah cukup. Dulu saya pernah tayang badan saya, jadi takkan hari ini saya nak buat perkara sama,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tawaran bekerja dengan pengarah muda,  Rosyam atau nama penuhnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 56, berkata, sebagai seorang pelakon, dia terbuka untuk bekerja bersama pengarah muda kerana dia juga memerlukan peminat baru untuk kekal relevan dalam industri lakonan.

Baginya, pengarah muda yang ada dalam industri seni mempunyai cara pemikiran yang berbeza, apatah lagi dia perlu diterima sekaligus mahu namanya diingati oleh generasi ini.

“Sebagai seorang pelakon saya memerlukan peminat. Peminat saya ada yang umur 70 dan saya memerlukan peminat-peminat baru. Mereka ni adalah ‘pembeli’ baru jadi kalau kehadiran saya boleh menarik mereka ke pawagam dan meminati saya, disitulah saya akan dapat tawaran baru dari producer dan pengarah haru. Kalau saya tak ada benda tu koyak lah saya.

“Saya dah bekerja dengan ramai pengarah lama, saya nak bekerja dengan pengarah baru sebab ini generasi baru, cara baru dan saya kena adapt dengan cara mereka. Benda ni sentiasa berubah kan?

“Lagipun cara pemikiran orang muda ni berbeza, cara pembikinan filem juga berbeza, jadi kalau saya tak masuk dalam situasi tu, orang akan mengingati saya dengan corak dan filem yang ada je lah (lama),” jelasnya.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin