Keluar Bersama Tak Bermaksud Kami Bercinta – Neelofa

Gambar pelakon dan pengacara, Neelofa yang sedang makan malam bersama Datuk Hans Isaac dan rakan-rakan pernah viral beberapa bulan lalu. Ia seolah memberi bayangan pasangan selebriti yang pernah bercinta ini kembali menjalin hubungan serius. 

Selebriti jelita ini turut mengaku bahawa mereka pernah keluar bersama namun atas dasar kawan sahaja. Tidak lebih daripada itu…

Tambah Neelofa , mereka sentiasa profesional dan tiada masalah untuk keluar bersama.

“Dari dulu lagi, kami bersikap profesional dan tiada masalah kalau orang nampak kami bersama. Memang kami keluar makan bersama, tetapi tidak timbul soal kami kembali bercinta,” katanya kepada BH Online.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu, apa yang mereka lakukan adalah atas dasar kawan dan apa sahaja perancangan termasuk idea menjayakan kempen Buli Siber akan dikongsi bersama.

“ Saya tidak jadikan kisah lalu sebagai penghalang untuk terus berbaik, malah tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Hans,” katanya.

Sumber Foto: Berita Harian

Sementara itu, Hans ketika ditanya mengenai kempen terbabit berkata, idea itu dicetuskan Neelofa beberapa bulan lalu bagi menyedarkan masyarakat menerusi pembabitan rakan artis. Sebagai kawan, dia bersedia membantu dalam melunaskan usaha murni itu.

“Kenapa kami tidak boleh berkawan dan melakukan sesuatu yang besar, sama ada untuk kerjaya atau atau komuniti?

“Saya akan menyokong sesiapa yang berusaha. Apabila Neelofa datang kepada saya bersama idea mengenai kempen ini, saya memberitahunya, kenapa tak buat? Saya hanya membantu Neelofa untuk merealisasikan kempen ini,” katanya.

Menyentuh mengenai gambar mereka di sebuah pusat peranginan yang tersebar, baru-baru ini, Hans berkata, mereka tidak ke sana berdua.

“Tidak ada isu dan kalau kami berjumpa sekali pun, biasanya beramai-ramai. Kebetulan, kami terjumpa di sana dan restoran pula penuh. Tidak ada apa yang berlaku, kami sekadar lepak bersama dan makan,” katanya.

 

SGMS Faida