Kempen Dah Lama Habis, Sila Bayar Duit Mawar

Ish… Dah hampir sembilan bulan kerja selesai, tapi bayaran belum lagi dapat. Akhirnya, pelakon Mawar Rashid nekad membuat laporan polis.

Katanya, individu berkenaan menjadi orang tengah ketika menjayakan satu kempen promosi, tahun lalu.

“ Saya masih menanti bayaran sebanyak RM 15,000 memandangkan kempen berkenaan sudah selesai pada Oktober lalu.

“ Setiap kali ditanya, dia akan memberikan pelbagai alasan, termasuk mendakwa masih belum menerima bayaran daripada klien. Kasihanilah saya yang bertungkus-lumus bekerja,” katanya.

Mawar menjelaskan wakil pengurusannya ada menghubungi pihak berkenaan untuk mengetahui status bayaran.

“ Kami diberitahu bayaran penuh sudah dijelaskan kepada individu yang menjadi ejen menguruskannya.

“Bukan hanya saya, beberapa artis lain seperti Raja Ilya dan Chacha Maembong difahamkan, turut menjadi mangsa individu itu,” katanya kepada BH Online.

Akui pelakon berusia 23 tahun ini, individu terbabit ada menghantar mesej kepada pengurusnya, baru-baru ini dan berjanji untuk menyelesaikan perkara itu akhir bulan ini.

Dalam masa sama, Mawar dan Raja Ilya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang, Shah Alam.

“ Saya harap dia dapat menunaikan janjinya memandangkan sudah lama saya menanti bayaran itu,” akhirinya.

SGMS Faida