‘Kenapa Menangis Depan Saya?’- Naz Rahman Terkejut Didatangi Individu Tak Dikenali

” Selepas arwah bapa pergi, baru saya tahu segala kebaikan yang pernah dilakukan semasa hayatnya,” demikian kata pengacara Jalan-Jalan Cari Makan, Nazrudin Habibur Rahman yang kehilangan bapa tercinta pada 14 Jun lalu.

Kata Naz ketika ditemui Xtra, dia terkejut didatangi individu tidak dikenali yang menceritakan kebaikan arwah bapa dahulu.

” Ada beberapa hamba Allah yang datang berjumpa saya lalu menangis. Saya pun terkejut dan bertanya kenapa menangis di depan saya.

” Kata mereka, semasa arwah bapa masih ada, arwah pernah menghulurkan bantuan dari segi mencari pekerjaan termasuklah mencarikan jodoh buat mereka.

” Sesungguhnya saya terharu dan amat bangga mendengar segala kebaikan yang diceritakan. Cuma saya sedikit terkilan kerana tidak pernah tahu mengenai hal ini semasa arwah masih ada. Benar kata orang, kita akan dapat tahu segala kebaikan seseorang setelah dia meninggal dunia,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, Nazrudin dalam kenyataan kepada media memberitahu arwah bapanya menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan keadaan arwah semakin baik.

Namun bapanya tiba-tiba sesak nafas dan dikejarkan ke hospital sebelum doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham Habibur Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. Al- Fatihah…

Wartawan: Fas

SGMS Faida