’Selepas Arwah Pergi, Kesihatan Ibu Terjejas’- Khir Rahman

Pemergian penyanyi legenda, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan pada 13 Jun lalu meninggalkan kesan mendalam ke atas isterinya, pelakon Datin Fadilah Mansor yang mesra disapa Kak Chik oleh anak seni lain.

Pelakon Khir Rahman berkata kesihatan ibu tirinya agak terjejas sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.

“Alhamdulillah, keadaannya okay dan tiada apa-apa yang serius. Dia hanya kena banyak berehat dan berada dalam pemantauan doktor.

“Saya pun nak dia berehat kerana dia banyak berfikir. Banyak benda yang dia nak kena urus. Dia terlalu rungsing dan dalam masa sama kena jalani edah, ini semua buatkan dia tertekan,” katanya.

Katanya, Fadilah patuh dalam edah dan tidak pergi mana-mana pun termasuk majlis rumah terbuka.

Khir akui Fadilah ada masalah jantung dan kerap menjalani pemeriksaan berkala bersama arwah bapanya.Selepas

“Selalunya kalau dia susah hati, rungsing, penat turun naik tangga, dia mengadu nafasnya tidak berapa lancar.

“Disebabkan itu, dia agak takut dan ajak menemaninya ke hospital. Dia ada ubat tapi makan ikut suka bila rasa perlu.

“Dia okay cuma ketika sampai ke hospital, bacaan degupan jantungnya agak rendah tapi sekarang dah makin baik,” kata Khir lagi.

Pada masa ini Fadilah masih berada di HKL dan dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida