Keperitan Alami Anxiety, Jerry Zakaria Lepaskan Emosi Dalam ‘Kehilangan’

Penyanyi Jerry Zakaria atau nama sebenar Mohd Zamhari Zakaria melancarkan single terbaru yang berjudul Kehilangan.

Lagu yang mengisahkan keperitan seseorang menghidap penyakit mental dan memendam sendiri ini merupakan ciptaan komposer ternama negara, Azlan Abu Hassan dan lirik ditulis oleh Ucu.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah melancarkan lagu pertama berjudul Jurang dan kini kembali mencuba sesuatu yang baharu dan lebih mencabar dalam industri muzik.

Mengulas mengenai jalan penceritaan Kehilangan, Jerry memberitahu lagu ini seperti menjelaskan isi hati yang dipendamnya dan sangat menyentuh hati.

Penyanyi kelahiran Terengganu ini turut mengakui bahawa dia mempunyai masalah ‘anxiety’ yang agak teruk dan telah melepasi fasa perubahan.

“Saya memang dah lama mahu melancarkan lagu yang menyampaikan mesej sebegini. Jadi, saya percaya, lagu ini boleh mengetengahkan nama saya sebagai penyanyi dalam industri hiburan tanah air dan mampu mengangkat seni ini ke persada antarabangsa.

“Saya harap ia akan diterima ramai dan menjadi sebuah lagu yang akan didengari ketika mana pendengar mungkin memerlukan sebuah lagu untuk melepaskan emosi mereka dan menangis.

“Selepas mendengar lagu ini, kita semua akan merasa lebih baik dan lega saja. Itulah yang saya harapkan daripada lagu ini,” ujarnya.

Selain itu, Jerry berharap agar lagu ini dapat membuka mata rakyat Malaysia tentang pentingnya masalah kesihatan mental.

“Rata-rata rakyat Malaysia tidak mengambil serius akan kesedaran kesihatan mental yang berlegar dalam kalangan masyarakat, justeru, lagu ini diharap dapat membuka mata rakyat Malaysia akan pentingnya kesihatan mental,” katanya.

Single Kehilangan terbitan Universal Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform muzik digital Universal Music Malaysia.

Manakala muzik video rasmi Kehilangan juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Universal Music Malaysia’ pada 13 Januari 2023 jam 6.30 petang.

Maya Basir