Selepas 6 Tahun, Ameem Abdul Akhirnya ‘Leraikan’ Hubungan Cinta Lama Terbina

Penyanyi baru Ameem Abdul atau nama sebenar Abdul Hamim Haji Suleiman telah melancarkan single terbaru berjudul Leraikan.

Lagu ini diciptakan sepenuhnya oleh Asfan Shah yang menceritakan tentang perasaan seseorang hendak melepaskan kekasih hatinya namun tidak sanggup untuk menamatkan hubungan telah lama terbina.

Menurut Ameem, lagu ini sudah lama dirakam dan disimpan sejak tahun 2017 kerana dia tidak yakin untuk memperdengarkan lagunya menerusi corong radio dan digital.

Namun, dia percaya bahawa Leraikan mampu menjadi produk pertamanya sebagai penyanyi dan mampu bersaing secara sihat di dalam industri seni tanah air.

“Saya tahu, ia bukanlah perkara yang mudah untuk menapak didalam industri muzik kerana nama saya masih lagi asing bagi pendengar Malaysia, namun saya akan tetap cuba berusaha untuk melakar nama seiring dengan nama-nama besar di negara ini,” katanya.

Selain menyanyi, anak kelahiran Johor ini merupakan seorang pengajar tarian Zumba dan mempunyai hobi memasak yang dijadikan salah satu sumber rezeki dengan membuka tempahan.

Sebelum ini, Ameem pernah merekod dua buah lagu tetapi tidak dilancarkan gara-gara takut karyanya tidak diterima pendengar.

“Saya pernah merekod dua buah lagu, namun masih takut tidak diterima oleh pendengar Malaysia, dan kali ini, dengan lagu ini, saya yakin, ia dapat menangkap fokus rakyat Malaysia untuk mendengar lagu single saya ini dan saya pasti, lagu ini mampu membawa nama saya sebagai seorang penyanyi.

“Saya amat berharap, para pendengar dan peminat sedia ada boleh menerima lagu ini dengan sifat yang lebih terbuka dan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Single “Leraikan” terbitan Universal Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform muzik digital ‘Universal Music Malaysia’.

Muzik video rasmi “Leraikan” juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Universal Music Malaysia’ pada 13 Januari 2023 jam 6.30 petang.

Maya Basir