Categories: Hiburan

Kerendahan Hati, Sifat Mesra Dengan Peminat Jadi Punca Rezeki Alyah

Siapa sangka sifat mesra dan ramah Datin Alyah dengan peminat boleh menjadi salah satu punca rezeki untuk penyanyi itu.

Kerendahan hati Alyah yang selalu mesra melayan peminat menjadi antara sebab utama pengasas produk kosmetik Twomee, Datuk Suraya Semaru memilih pelantun lagu Sesal Separuh Nyawa itu sebagai duta.

“Perkenalan kami bermula dengan undangan memanggil Alyah untuk menyanyi di sebuah acara. Selepas acara selesai, saya kagum melihat Alyah melayan semua tetamu yang hadir dengan ramah seperti kawan sendiri.

“Sejak itu, saya senang dengan personaliti yang ditonjolkan Alyah dan ia menjadi sebab saya melamarnya sebagai duta kepada jenama kosmetik dan kecantikan yang saya usahakan,” kata Suraya.

Sementara itu, Alyah terharu dan bersyukur apabila sifat yang sering ditonjolkan menjadi penyebab datangnya rezeki.

“Saya bermula dari bawah, jadi saya sangat menghargai orang di sekeliling saya, terutamanya peminat. Apabila pengasas Twomee mendedahkan sifat terbabit menjadi salah satu sebab dia melantik saya menjadi duta, saya rasa terharu dan bersyukur.

“Selain itu, saya memastikan saya mencuba terlebih dahulu jenama ini. Apa yang saya gemar adalah produk ini melalui pelbagai proses penyelidikan sebelum ia dipasarkan.

“Selepas menggunakan ‘Makeup Based 3 Dalam 1’, ia serasi dengan saya dan memang berkesan, jadi saya tidak teragak-agak untuk bersetuju dengan tawaran mereka. Ia cepat digunakan, berkualiti dan sangat sesuai untuk menjaga semua jenis kulit,” katanya lagi.

Suraya dan Alyah ditemui di majlis pelancaran jenama Twomee di Hotel Royal Chulan, Damamnsara pada Sabtu.

Selain Suraya dan Alyah, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Mastura Mahmud selaku Ketua Pengarah Operasi Twomee dan rakan-rakan selebriti lain seperti Nadia Brian, Luqman Podolski, Adira Suhaimi, Ani Maiyuni, Yasmin Aziz, Sarah Suhairi dan ramai lagi.

Padin