Kes Saman Fitnah SM Faisal Selesai, Caprice Tawar Kereta ‘Free’

Kes saman fitnah ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice, diselesaikan secara baik di luar mahkamah, hari ini.

Saman tersebut susulan sebuah hantaran selebriti tersebut yang berbaur fitnah berhubung kes ahli perniagaan itu dan bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Menurut laporan media, perkara tersebut dimaklumkan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili SM Faisal selepas Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, meminta maaf kepada anak guam dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman, hari ini.

Menjengah ke profil Caprice, dia juga telah memohon maaf kepada SM Faisal secara terbuka.

Lebih menarik, pelantun lagu Xde Hal Bro itu turut memaklumkan akan menghadiahkan sebuah kereta jenis Kia Sportage kepada pengikutnya di Instagram sempena penyelesaian kes itu.

“Alhamdulillah dia dah dapat penyelesaian tapi saya kena bayar saman RM6000.

“Saya tak boleh tengok kereta ini lagi, ini kereta lama saya, jadi saya nak bagi giveaway kepada sesiapa yang nak kereta ini,”katanya ringkas.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co, pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan SM Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan niat jahat tanpa sebarang rujukan atau pengesahan daripada pihak plaintif.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Didakwa Sengaja Sebar Fitnah Berkaitan Isu Emilia Hanafi, SM Faisal Saman Caprice & Tuntut 5 Ganti Rugi

Khairil Khusyairi