Kisah Cinta Bersama Amelia Henderson, Aedy Ashraf Ambil Keputusan ‘Kunci Mulut’

Susulan lamaran secara terbuka yang dibuat pelakon, Aedy Ashraf baru-baru ini ternyata mengejutkan ramai pihak.

Walaupun ada diantara warganet menganggap tindakan tersebut sebagai romantis namun, ada juga yang berpendapat bahawa tindakan itu seperti mengikut budaya barat.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut, Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 29, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Malah, dia juga dilihat lebih senang untuk mengunci mulut mengenai hubungannya bersama pelakon dan pengacara, Amelia Henderson.

“Maaf, saya tidak mahu komen,” katanya.

 

Aedy yang ditemui ketika sesi sidang media secara maya pada Selasa, lebih gemar untuk berkongsi dan bercerita mengenai drama terbaharunya Bila Hati Memilih Dia yang akan ditayangkan di slot Samarinda bermula 28 Mac 2022.

Mengakui berdepan cabaran apabila diberikan watak sebagai seorang bapa muda, Aedy pada mulanya tidak yakin dengan watak tersebut sehinggalah diberikan kepercayaan oleh Penerbit Eksekutifnya, Zetty Alia Dato Ramly.

“Ini pertama kali melakonkan watak sebagai seorang bapa dan cabarannya pastilah, kerana saya bukan seorang bapa, so experience untuk menjaga anak specially anak kecil adalah something yang saya kena buat research.

“Pada awalnya ketika diberikan watak menjadi seorang bapa muda ni saya sebenarnya tidak yakin, kerana takut watak tu terus melekat dalam diri saya.

“Tapi sebab pengarah percaya dan yakin yang saya boleh bawa watak sebagai seorang bapa so saya cabar diri saya. Dan kalau selepas ni saya diberikan tawaran untuk watak sebegini lagi apa salahnya,” katanya.

Aedy yang  berkecimpung dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak lagi turut berkongsi pengalamannya bersama pelakon cilik, Maryam Annisa untuk beraksi dihadapan kamera.

“Yang memudahkan saya sendiri adalah, kerana saya seorang yang suka kanak-kanak terutamanya kanak-kanak yang berumur 5 tahun sehingga 10 tahun macam tu. So, benda tu memudahkan.

“Bila kita shooting dengan budak berumur 5 tahun senang lah kerana dia selalu mengingatkan saya masa dalam set. walaupun susah sebab dia tak tahu apa-apa tapi experience saya boleh dijadikan input untuk budak kecik ni faham.

“Sebab kadang-kadang ada scene yang Maryam kena menangis dan Maryam ni sejenis yang susah nak menangis. So bila scene menangis saya kena gunakan method yang saya pelajari. 

“Susah but it was fun. Something yang saya tak pernah imagine untuk bawak karakter sebegini,” jelasnya.

Drama 15 episod yang sarat dengan pengajaran dan memartabatkan kaum wanita ini turut menampilkan pelakon hebat lain seperti, Zila Bakarin, Eyka Farhana, Gambit Saifullah, Azri Safri dan ramai lagi.

 

Salma Syahbuddin