Isu Penyebaran Fitnah, Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Usahawan Selebriti

Mahkamah sesyen Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed  kerana menghina mahkamah.

Ia selepas Hakim Yasmin Abdul Razak mengeluarkan perintah tersebut pada 14 Februari lalu selepas Norjuma gagal menghadirkan diri ke mahkamah susulan kes perbicaraannya.

Menurut peguam yang mewakili pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hasanuddin Roslan, usaha untuk menyerahkan waran tangkap tersebut gagal selepas defendan tidak berjaya dihubungi.

“Pihak kami bersama bailiff mahkamah (orang yang dilantik mahkamah untuk menyampaikan writ/ saman) cuba untuk mencari Norjuma selaku defendan di dua buah rumah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor gagal.

“Jadi kami akan memohon tarikh baru untuk permohonan waran tangkap ke atas usahawan tersebut sekali lagi,” katanya.

Tegasnya lagi, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan Polis DiRaja Malaysia untuk urusan seterusnya.

Terdahulu, sekitar tahun 2019 dan 2020, Fame Up Entertainment selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap bekas pengacara program Nona itu berhubung penyebaran fitnah terhadap syarikat.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin