Kongsi Kelebihan ‘Homeschool’, As’ad Motawh Perbetul Dakwaan Sekolah Tak Penting

Penyanyi As’ad Motawh tampil memperbetulkan dakwaan yang pernah mengatakan bahawa pergi ke sekolah hanya membuang masa.

Menerusi perkongsiannya di podcast The Salesman Talk, As’ad memberitahu dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu dan cuma memberi pendapat peribadinya tentang topik ‘homeschooling’.

“Saya tidak pernah berkata ‘awak tak perlu pergi ke sekolah’. Ayat saya adalah ‘saya bukan seorang manusia yang suka ke sekolah dan saya anggap itu adalah membuang masa’.

“Kenapa saya rasa itu membuang masa? Kerana saya rasa ada rezeki untuk menjadi penyanyi dan ada rezeki juga guna cara ‘homeschooling’.

“Kalau ‘homeschooling’ saya hanya perlu ke sekolah biasa selama enam jam sehari, sebanyak dua kali seminggu. Dalam tempoh itu, saya belajar macam-macam ilmu sejak tingkatan empat dan lima,” jelasnya.

Sementara itu, pelantun lagu Senyum ini berkongsi kelebihan ‘homeschooling’ terutama untuk dirinya secara peribadi malah ia adalah jalan yang terbaik untuk tidak perlu bersekolah dalam jangka masa lama.

“Sebenarnya saya boleh ‘homeschooling’ sejak daripada awal lagi sebab boleh jimat banyak masa dan saya boleh buat sesuatu perkara lain yang turut mendatangkan manfaat lain buat saya.

“Saya secara peribadi merasakan sejak darjah satu hingga tingkatan lima, itu adalah satu tempoh yang sangat lama.

“Jadi, sebenarnya boleh dipendekkan sebagai salah satu solusi. Memendekkan tempoh itu pula membuka peluang saya ke suatu perkara lain,” ujarnya.

Terdahulu, kenyataan As’ad menerusi satu podcast mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang didakwa bersekolah adalah perkara yang membuang masa.

Maya Basir