Categories: Hiburan

Konsert Patah Hati Ada Sekuel! Bakal Diadakan 23 November Ini, Tampilkan Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera, Neeta, Aisha Retno & Naim Daniel

Atas sambutan luar biasa Konsert Patah Hati yang diadakan pada Mac lalu, ia kembali dengan persembahan sekuel iaitu Konsert Patah Hati 2.0 yang bakal diadakan pada 23 November hadapan.

Turut diadakan di Zepp Kuala Lumpur, barisan artis popular iaitu Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera, Neeta Manis bersama dua bintang Patah Hati sebelumnya, Aisha Retno dan Naim Daniel bakal kembali memeriahkan penonton di konsert yang dijayakan oleh ANS Diversified Sdn Bhd ini.

Pengarah Projek, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, Konsert Patah Hati 2.0 yang mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia melalui My Creative Ventures, bakal menonjolkan tema Neon bagi menyemarakkan lagi suasana pada malam persembahan itu nanti.

“Pertama kali saya amat bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang menyaksikan Konsert Patah Hati pada Mac lalu.

“Sambutannya sangat hebat sehingga ramai tidak puas dan meminta ia dianjurkan lagi. Jadi sebagai memenuhi permintaan semua, ANS Diversified kini kembali bersama konsert sekuel pada 23 November ini,” katanya.

Faizal berkata, tema Neon dipilih kerana ia menggambarkan cahaya indah, kepelbagaian rona serta keunikan genre-genre muzik yang ditonjolkan 6 artis yang terpilih dalam Konsert Patah Hati 2.0 kali ini.

“Dengan barisan artis seperti Bunkface, Naim Daniel, Ismail Izzani, Neeta, Aisha Retno dan Nadeera, kami jemput semua peminat menempah tiket bermula 6 September, jam 5 petang. Kombinasi artis solo dan berkumpulan dikekalkan kerana formula ini digemari oleh semua penonton,” katanya.

Faizal ditemui pada sidang media Konsert Patah Hati 2.0 di Z Botanica, 1 Utama, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Nornajwa Noor Shahhidin, Pengurus Kanan Geran MyCreative Ventures.

Tiket-tiket Konsert Patah Hati 2.0 kini boleh ditempah di laman sesawang www.ticket2u.com.my

Padin