Konsert Penuh Semangat Wali Band, Floor 88 Buat Peminat Jadi Tak Keruan!

Konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2 Wali Band dan Floor 88 berlangsung di Zepp Kuala Lumpur semalam, telah mencipta satu kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan oleh peminat di Malaysia.

Kumpulan Wali Band yang terkenal dengan lagu Cari Jodoh meluahkan rasa teruja dapat bertemu peminat di Malaysia dan menerima sokongan penuh peminat yang turut menyanyi bersama sepanjang konsert berlangsung.

Wali Band merupakan sebuah kumpulan muzik yang menyampaikan mesej-mesej baik di dalam lagu mereka.

Sama seperti Floor 88, mereka turut terkenal dengan rangkaian lagu yang sering menyelitkan nasihat.

Antara lagu yang dinyanyikan Wali Band ketika konsert berlangsung adalah Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Emang Dasar, Puaskah, Dik, Doaku Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang, Kekasih Halal, Taubat Maksiat, Ada Gajah Dibalik Batu, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan yang paling dinanti-nantikan, Cari Jodoh.

Membuka pentas dengan lagu 24434, Floor 88 menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hits mereka selerti Chikadun, Zalikha, Roadblock Hatiku, Kong Kali Kong dan Hutang.

Antara momen yang tak dapat dilupakan ketika konsert berlangsung adalah apabila salah seorang peminat menghulurkan tangan untuk menggapai vokalis Floor 88 tetapi tidak disambut kerana Ayie ada kejutan buat semua peminatnya.

Membuatkan peminat teruja, Ayie melakukan kejutan dengan melompat ke khalayak ramai ketika menyampaikan lagu Kong Kali Kong.

Konsert yang berlangsung selama tiga jam ini berjaya memukau penonton di Malaysia kerana kehebatan susun atur muzik yang padu, sistem bunyi gempak serta semangat dari Wali Band dan Floor 88 yang luar biasa.

Menghampiri jam 11 malam, penyanyi utama Wali Band, Faank berduet bersama Ayie Floor 88 bagi menutup malam konsert penuh gemilang dengan lagu popular dari Wali Band, Cari Jodoh.

Nurul Hana