Categories: HiburanSelebriti

Konsert Terakhir Bukti Altimet Layak Digelar Lagenda Rap

Konsert terakhir Altimet menyaksikan hampir 5000 penonton membanjiri Dewan Merdeka, PWTC, malam tadi.

Menariknya, konsert berskala besar ini berjaya menampilkan 20 orang penyanyi di pentas sama.

Antara penyanyi yang tampil di pentas bernyanyi bersama Altimet buat kali terakhir adalah Joe Flizzow, SonaOne, Tomok, Hazama, Aman RA, Awi Rafael, Aizat Amdan, Zizi Kirana, Amir Jahari, Ila Damia dan ramai lagi.

Barisan penyanyi yang tampil juga merupakan mereka yang pernah terlibat dalam album Altimet sebelum ini.

Konsert berdurasi dua jam tanpa henti ini membuktikan kehebatan Altimet yang berjaya menyanyikan kesemua lagu tanpa menampakkan mimik letih walau sedikit pun. Memang benar-benar legend rap!

Altimet yang mengumumkan untuk bersara pada November lalu membuka persembahan dengan beberapa buah lagu hits Bersamamu, Hello, Chantek dan Muda bersama rakan duet, Cuurley, Trisno, Adeep Nahar dan Kidd Santha. 

Dewan bertambah gamat dengan kemunculan Zizi Kirana yang anggun menyarungkan pakaian tradisional sesuai dengan lagu Pendekar Pena.

Altimet meneruskan kehangatan konsert dengan gadingan bersama rapper terkenal Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu Havoc dan Sang Saka Biru.

Penonton seolah-olah ‘dirasuk’ ketika di pertengahan konsert ketika penyanyi Aman RA dan Noh Salleh muncul di pentas menerusi lagu Berada dan Kotarayaku.

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu hits lain seperti Kalau Aku Kaya, Negaraku, Penghibur, Amboi, Bunga sebelum persembahan terakhir menerusi lagu Orang Biasa.

Konsert terakhir Altimet dibawakan oleh Nescafe ini dianjurkan sebagai tanda hadiah dan terima kasih buat keluarga, rakan-rakan dan peminat yang menyokong beliau selama ini.

Terdahulu, Altimet membuat kejutan apabila mengumumkan mahu mengundurkan diri dari dunia nyanyian pada hari ulangtahun kelahirannya ke 40, November lalu. Tahniah Altimet, we gonna miss you!

SGMS Faida