Krisis Rumah Tangga Selesai, Puteri Sarah Luah Kelegaan

Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana, 38, meluahkan rasa lega selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan dia dan bekas suaminya, pengarah Syamsul Yusof bercerai talak satu pada jam 12.23 tengah hari tadi.

Lafaz cerai itu dilakukan di hadapan Hakim Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menurut Sarah, dia bersyukur kemelut perkahwinan berakhir dengan baik selepas mengadakan perundingan, semalam.

“Alhamdulillah semuanya selesai. Saya gembira dan lega. Semalam, kami kami berjumpa dan kami selesaikan semuanya dengan lebih terperinci.

“Buat masa ini, saya tidak tahu nak rasa apa. Biarlah saya seorang saja yang tahu apa yang saya rasa. Saya sudah ‘move on’ dan kami pun sudah bersalaman tadi,” katanya yang kini dalam tempoh edah selama tiga bulan.

Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.

Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.

Dalam prosiding hari ini, Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat Salam Cium Tangan Buat Kali Terakhir, Syamsul Yusof Cerai Puteri Sarah Talak 1

ARTIKEL BERKAITAN: Sah Bercerai, Puteri Sarah Sudi Bertentang Mata Dengan Ira Kazar? Ini Jawapan Empunya Badan

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.

Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Sarah dan Syamsul.

Syamsul dan Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Padin