#ThrowbackXTRA: Hari Bahagia Hampir Tiba, Ini Rupanya Cara Shuib & Watie Berkenalan!

Umum tahu, pelawak Shuib bersama pasangannya, Watie Hanifiah bakal mendirikan rumah tangga pada 23 Jun ini.

Biarpun sedang berdebar menanti hari bahagia tiba, Shuib dan Watie sempat berkongsi detik awal perkenalan mereka menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini.

Menurut Watie, mereka mula berkenalan sejak dirinya mengirimkan ucapan takziah kepada pelawak itu selepas pemergian arwah isterinya, Siti Sarah, pada Ogos 2021.

“Detik permulaan kami apabila masa arwah Siti Sarah meninggal dunia, ramai yang DM dia hantar ucapan takziah kan. Macam tu juga saya. Tapi dia membalas mesej itu selepas lima bulan,” katanya.

Watie dan Shuib berkata demikian ketika sidang media Walimatulurus Shuib & Watie yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shuib sempat menyatakan dia yang cuba mendekati Watie dengan meminta nombor telefonnya terlebih dahulu.

“Masa tu adalah rasa nak kenal dia lebih jauh. Bila tengok kat DM dia salah seorang yang ucapkan takziah dan bercakap melalui DM.

“Tapi tak sangka pula masa saya minta nombor dia tu saya dapat. Tapi pada masa itu rasa macam apa yang saya buat ini, saya tak sepatutnya minta.

“Dia pula ambil masa yang lama untuk balas mese jadi saya pun berserah sahajalah dan tunggu dia balas. Mungkin dia punya pandangan kita masa tu ke apa ke.

“Bukanlah saya mencari macam katalog. Ni Allah punya rasa, dia macam tiba-tiba dan tergerak hati. Rasa tu datang sendiri,” jelasnya.

Fatin Nurain