’Lebih Baik Bunuh Saja Suami Saya…’- Almy Nadia Bengang Tuduhan Netizen

Fitnah memang tidak boleh dibuat main-main kerana ia boleh merosakkan reputasi seseorang sehingga mengganggu rumah tangga suami isteri.

Begitulah situasi dilalui pelakon, Datin Almy Nadia yang menyelar tindakan warganet yang memfitnah suaminya, pelakon dan usahawan, Datuk Fizz Fairuz susulan dakwaan ditangkap khalwat di sebuah pulau peranginan pada Jumaat lalu.

Dalam status dimuat naik Almy di laman Instagram semalam, berkata suaminya berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian dipercayai berlaku.

“Subhanallah makcik-makcik bawang, syukur Alhamdulillah anda semua menambah pahala suami saya.

“Lebih baik bunuh saja suami saya daripada anda semua tabur fitnah.

“Sekarang suami sedang menjalani latihan sebagai penyampai untuk Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) malam ini (Ahad lalu),” tulisnya.

Sebelum ini, menerusi laporan sebuah portal hiburan, seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ dan pasangannya antara ditahan dalam satu operasi bersepadu di Pulau Perhentian.

Lelaki berusia 40 tahun dan pasangannya berumur 32 tahun ditahan di sebuah chalet dalam operasi yang dilakukan sekitar pukul 1 hingga 5.30 pagi Jumaat lalu.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida