Categories: HiburanTrending

Lepas Teruk Kena Hentam Warganet, Zara Beri Penjelasan… Dakwa Kempen ‘The Jacket’ Disalah Tafsir – “Itu Konsep Artistik, Bukan Genosid”

Baru-baru ini, tindakan jenama pakaian dari Sepanyol, Zara melancarkan kempen ‘The Jacket’ yang didakwa menggambarkan kempen genosid di Gaza telah menerima kecaman yang teruk oleh ramai pihak.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa bengang dan kesal dengan imej yang dikongsi di akaun media sosial mereka.

Dianggap tidak menghormati penderitaan penduduk Palestin, kempen itu menampilkan konsep patung hilang anggota tubuh dengan berlatarbelakangkan sisa runtuhan serta terdapat juga boneka pakaian dibalut dengan kain putih seakan-akan mayat.

Setelah hebat dikritik sehingga ramai pihak mengambil keputusan memboikot jenama global itu, Zara tampil memberikan kenyataan jelas menerusi hantaran Instagram miliknya semalam.

Zara memberitahu tema tersebut telah dirancang pada Julai lalu dan sesi fotografi dilangsungkan pada September.

Zara memaklumkan pihaknya juga kecewa dengan salah tanggapan masyarakat terhadap konsep yang diketengahkan itu.

Mahu menonjolkan sisi artistik, mereka cuba menampilkan perspektif proses menyiapkan sesuatu busana di dalam studio yang berselerakan bagi menggambarkan kerja-kerja belakang tabir.

Oleh sebab itu, terdapat banyak patung atau arca serta kain berwarna putih melambangkan pembuatan pakaian yang belum siap.

Akui penceritaan tersebut gagal difahami, Zara menghormati pandangan orang ramai.

Jenama pakaian tersohor itu bagaimanpun memberitahu mereka telah mengambil tindakan dengan memadam hantaran serta menghentikan kempen yang disifatkan tidak berperikemanusiaan tersebut demi tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Syamir Shafie