Categories: Hiburan

Mahu Sebar Karya Bermanfaat, Kembara Sufi Dalam Perancangan Terbit Filem Islamik

Syarikat penerbitan Kembara Sufi Sdn Bhd berhasrat untuk menerbitkan filem bertema Islamik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kembara Sufi, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir, selepas menerbitkan drama dan program kembara travelogue, menghasilkan filem adalah sasaran mereka yang seterusnya.

“Kami sudah menghasilkan drama, dokumentari dan travelogue. Jadi, kami ada hasrat untuk muncul ke layar perak pula.

“Perancangan untuk menerbitkan filem itu ada tapi kami masih mencari kandungan yang terbaik.

“Jika diberikan kesempatan, kami mahu terbitkan filem dengan jalan cerita berkisarkan Islamik seperti kebanyakan filem cinta Indonesia yang berjaya mencipta fenomena luar biasa,” katanya.

Al-Fadzil ditemui pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang 10 tahun mengusahakan perniagaan yang menyediakan pelbagai servis kemudahan kepada pelanggan, Kembara Sufi mengutamakan kepuasan orang ramai.

“Kami bermula sebagai peneraju pakej pelancongan dengan kadar yang berpatutan dan Alhamdulillah kita menjadi syarikat yang paling banyak bawa kumpulan pelancong ke luar negara.

“Kemudian kami perlahan-lahan menceburi cabang bisnes baharu seperti menubuhkan syarikat produksi dan beberapa perniagaan lain bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Tidak dinafikan, ketika dalam fasa pandemik Covid-19, bisnes kecil inilah yang membantu dan menyokong meneruskan survival Kembara Sufi,” katanya lagi.

Padin