‘Pandang Saya Sebagai Penyanyi Bukan Penyampai Radio’- Young & Gentleman Buah Tangan Terbaru Haiza

Meskipun lebih dikenali sebagai penyampai radio buat masa ini, Haiza mengakui minatnya terhadap dunia nyanyian tidak pernah hilang.

Buktinya, Haiza kini tampil dengan sebuah single terbaharu berjudul Young & Gentleman ciptaan Aizat Amdan dan Mel Ramlan.

“ Dengan kemunculan lagu baharu ini, saya berharap pendengar pandang saya sebagai penyanyi dan bukan penyampai radio.

” Besar harapan saya agar lagu ini boleh mendapatkan sokongan peminat dan juga stesen radio yang sudi memainkan lagu ini.

“ Istimewanya mengenai single kali ini, ia masih mengekalkan identiti saya sebagai penyanyi dangdut. Dengan mengangkat genre pop dangdut, single kali ini lebih segar untuk halwa telinga anda,” kata Haiza ketika ditemui di majlis pelancaran Young & Gentleman di Red Box Karaoke, The Gardens, semalam.

Kali terakhir Haiza tampil dengan single berjudul Jangan Pernah Berdusta selepas menyertai program nyanyian Duo Star bergandingan bersama Aepul Roza.

Penyampai radio Kool FM ini turut meletakkan kepercayaan penuh terhadap komposer Aizat Amdan dan Mel Ramlan untuk menghasilkan sebuah naskah lagu yang boleh melonjakkan semula karier nyayiannya.

“ Untuk buat gimik di usia begini, rasanya dah tak sesuai kot. Saya percaya dengan kemampuan komposer yang lebih peka dan faham kehendak pendengar sekarang,” katanya.

Muzik video Young & Gentleman boleh mula ditonton di laman Youtube Indigital Sdn Bhd manakala muzik video karaoke boleh didapati di seluruh rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box PLUS.

SGMS Faida