Liza Rayu Netizen Henti Sebar Gambar Bapa Mertua

Kecoh di sosial media apabila penyanyi Saleem terlibat dalam kemalangan di Bandar Mahkota Cheras, baru-baru ini.

Penyanyi Suci Dalam Debu itu telah dikejarkan ke Hospital Kajang dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, bekas penyampai radio Kool FM, Liza Khairudin yang juga merupakan menantu kepada Saleem meluahkan rasa kecewa apabila gambar bapa mertuanya menjadi viral.

“ Saya pertikaikan etika amalan kerahsiaan di kalangan pekerja hospital yang merawat bapa mertua saya. Gambar beliau disebarkan sesuka hati.

“ Berhenti kongsi gambar @aku_saleem Tolong jangan  tekan butang SHARE di FACEBOOK dan berhenti tekan butang REPOST di INSTAGRAM,” tulisnya di laman Facebook.

Tambah Liza, dia mewakili keluarga kecewa apabila melihat komen yang ‘sinis’ dan dianggap tidak sesuai dengan keadaan.

“ Bila kalian kongsi, ada pula yang berbahas di situ. Ada banyak komen yang ditulis di situ menghancurkan hati saya.

“ Saya mohon tolong jaga hati ahli keluarga kami buat masa ini. Bagi sedikit ruang untuk mama (isteri Saleem) uruskan situasi ini,” katanya.

Liza turut berpesan terutama buat pihak pengurusan dan warga kerja Hospital Kajang agar menjaga etika kerja.

“ Kakitangan kalian harus hanya beri perhatian untuk merawat bukan jadi wartawan. Harap gambar tersebut jadi yang pertama dan terakhir yang dikongsikan.

“ Kalau betul sayang Saleem, doakan semoga Allah beri kekuatan kepada beliau untuk kembali sihat,” akhirinya.

SGMS Faida