Mahu Jaga Batas Sebagai Isteri, Bella Astillah Minta Pelakon Lelaki Muda Panggil Kakak

Pelakon Bella Astillah memberitahu sentiasa mengingatkan diri untuk menjaga batas ketika bergandingan dengan pelakon lelaki.

Memetik laporan Harian Metro, Bella tidak mahu melukakan hati suami dan berkata segala gambar yang dimuat naik di media sosial hanya sekadar tuntutan kerja.

“Gambar yang saya kongsi semuanya diambil ketika sedang bekerja. Kalau ada gambar kasut sama ke, itu kebetulan sahaja.

“Ya, Aliff ada tanya, memang saya berlakon dengan pelakon muda sahaja? Jadi, saya jawab untuk penggambaran semata-mata,” katanya.

Menurutnya, dia sedar akan status dirinya sebagai seorang isteri dan meminta pelakon gandingan terutama pelakon muda untuk memanggilnya Kak Bella.

“Kalau nak tahu, saya minta mereka (pelakon lelaki muda) panggil saya dengan gelaran Kak Bella.

“Mula-mula mereka tak biasa, tapi disebabkan saya minta, jadi mereka dah biasa panggil saya dengan pangkat kakak.

“Lagipun saya sedar diri. Umur saya sudah 29 tahun, dan sekarang banyak pelakon muda. Saya okey sahaja orang panggil kakak, saya tiada masalah,” ujarnya.

Maya Basir