Categories: SelebritiTrending

Impian Jadi Realiti! Alif Satar & The Locos Artis Pertama Lancar Album Atas Kapal Genting Dream

Alif Satar & The Locos melancarkan album pertama mereka yang berjudul ‘Alif Satar & The Locos’ yang memuatkan sebanyak tujuh buah lagu dengan sebahagian kerjasama antara Resort World Cruises dan Warner Music Malaysia.

Antaranya ialah Anugerah Terindah, Lelaki X Sempurna, Lelaki X Sempurna feat Diandra Arjunaidi, TOXIC, Isteri, Hey! dan Senyum.

Ditanya mengenai idea nama kumpulan, Alif Satar berkongsi bahawa nama The Locos diinspirasi daripada sebuah filem animasi berjudul Coco.

“Nama The Locos tiada kena mengena dengan lokomotif ataupun keretapi. Nama ini tercetus ketika kami menonton sebuah filem animasi berjudul Coco dan kami menyukai lagu dalam filem tersebut yang bertajuk Un Poco Loco.

“Jadi, kami ambil keputusan untuk namakan The Locos yang membawa maksud ‘gila’,” kongsi Alif.

Bukan itu sahaja, Alif Satar & The Locos merupakan artis tempatan pertama yang melancarkan album baharu di atas kapal pelayaran Genting Dream di Port Klang, Malaysia.

Malah, Alif Satar & The Locos juga dipilih untuk berkolaborasi dengan Resort World Cruises bagi memulakan kempen ‘Sayang Lokal’ yang bertujuan menyokong pelbagai inisiatif warga tempatan.

Tambah Alif yang juga mewakili Alif Satar & The Locos, mereka bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada kempen ‘Sayang Lokal’ ini dan impian mereka tercapai untuk membuat persembahan di atas kapal.

“Alif Satar & The Locos sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada kempen ‘Sayang Lokal’ Resort World Cruises dan pada masa sama dapat melancarkan album kami dengan persembahan mini di atas kapal Genting Dream.

“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi kami kerana bukan setiap hari kami berpeluang melancarkan dan beraksi di atas kapal. Kami juga gembira kerana dapat mencipta pengalaman dan kenangan unik yang baru bagi kumpulan kami, tetamu, dan juga peminat yang hadir,” ujarnya lagi.

Atiqah Johari