“Malu Ke Dengan Mak?” – Sebab Berstatus Janda, Kuna Dihalang Berfoto Bersama VVIP Ketika Majlis Perkahwinan Anak?

Baru-baru ini, pelakon Kuza meluahkan rasa berang apabila kakaknya, Kuna diperlekehkan ketika di majlis perkahwinan anak kandungnya, Nik Muhamad Hakimi Rizalman.

Menurut Kuza, Kuna atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani tidak dibenarkan bergambar dengan anaknya bersama VVIP kerana berstatus janda.

“My sister @kunamuzani ada je kat majlis anak dia kahwin tapi tak dibenarkan masuk bergambar bersama vvip oleh kerana my sister status JANDA.

“Hina ke jadi JANDA? Sampai tak dibenarkan masuk holding room bergambar bersama? Padahal kahwin anak kandung my sister. Malu ke ada mak macam Kuna? Ooo faham sebab Kuna tak ada pangkat DATIN/DATUK?,” luahnya.

Bukan itu sahaja, Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Muzani menasihatkan bahawa untuk berbuat baik dengan ibu kepada anak saudaranya itu.

“Nabi Muhammad SAW sendiri pun 3 kali sebut berbuat baiklah pada IBUMU, IBUMU, IBUMU! Kita sebagai anak kalau nak hidup bahagia, rezeki melimpah jangan sesekali buat ibu kita sedih,” pesan Kuza.

Malah, Kuza turut berkongsi bahawa kakaknya itu menangis sehingga tidak tidur akibat insiden tersebut.

“Apatah lagi buat ibu kita menangis sampai tak tido. Kesian oleh kerana ego anak yang jadi mangsa. Jangan undi orang-orang yang macam ni sebab contoh yang tak baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Sekadar info, Kuna pernah berkahwin dengan Rizalman yang merupakan seorang ahli politik, namun sah bercerai pada 5 Disember 2001.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nik Muhamad Hakimi, Nik Haikhal dan Elysha.

Atiqah Johari