Mamat Exist Didakwa Miliki & Hisap Dadah Jenis Methamphetamine Secara Berulang

Bekas vokalis Kumpulan Exist, Mamat mengaku tidak bersalah hari ini selepas didakwa atas pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah lima tahun lalu.

Memetik laporan Kosmo, Mamat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Fatimah Zahari dan Mahkamah Majistret, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pelantun lagu popular Untukmu Ibu itu didakwa telah memberi dadah jenis Methamphetamine secara berulang kepada diri sendiri pada 9 September 2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Manakala, pada tahun 2016 dan 2018, dia juga didakwa telah melakukan kesalahan sama.

Justeru, atas kesalahan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen (15)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39C (1)(b) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mamat atau nama penuhnya, Mohd. Ali Kamarudin, 46, sekali lagi didakwa kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram ketika diperiksa pihak polis pada 8 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) iaitu berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya itu dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Difahamkan, tarikh 22 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

 

Sumber & Kredit Foto: Kosmo Online

Salma Syahbuddin