“Mangsa Gangguan Seksual Seawal Usia 6 Tahun Di Rumah Sendiri Oleh Orang Yang Seharusnya Menjaga Saya, 3 Kali Di Set Penggambaran” – Mia Sara Shauki

Pelakon baru, Mia Sara Shauki mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual sebanyak tiga kali ketika menjalani penggambaran bersama beberapa syarikat produksi.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, aktres filem Raksasa ini memuat naik bukti perbualan mesej bersama individu tersebut, yang seakan sudah terjatuh hati kepadanya.

Membawa watak mangsa gangguan seksual dalam siri terbaru media swasta, Mia mengakui sepanjang penggambaran berlangsung dia terimbau peristiwa pahit yang berlaku kepadanya.

“Ada beberapa masa saya broke down di set penggambaran sebab banyak babak yang kami lakonkan adalah perkara yang saya pernah lalui sebelum ini.

“Masa skrip reading juga kami terpaksa stop dalam beberapa episodes sebab topik ini sangat berat.

“Dipendekkan cerita, di produksi yang lain beberapa tahun lalu saya melalui satu peristiwa di mana telah membuatkan saya rasa tak selesa oleh orang yang lebih berkuasa.

“Mereka terlalu menyayangi saya (mereka sudah berkahwin), dan pada akhirnya saya terpaksa melalui terapi selama setahun dengan tanda-tanda seorang PTSD.

“Saya rasa pernah menerima gangguan seksual sebanyak tiga kali daripada tujuh syarikat produksi yang saya pernah bekerjasama.

“Pada saya pengalaman ngeri itu sangat banyak lebih-lebih lagi untuk artis baru seperti saya. Masih ada orang buat lawak lucah pasal saya, depan saya,” katanya.

 

Dalam pada itu, puteri sulung pelakon dan pengarah Afdlin Shauki turut membongkar gangguan seksual ini pernah terjadi seawal umurnya enam tahun, di kediamannya sendiri.

Lebih parah, individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu merupakan insan yang seharusnya menjaganya pada ketika itu.

“Selain di tempat kerja, perkara (gangguan seksual) pernah terjadi dalam rumah saya sendiri ketika saya berumur enam tahun, oleh seseorang yang sepatutnya menjaga saya,” tambahnya lagi.

Mia tidak menafikan perkara tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupannya sehingga kini, namun dia tetap bersemangat dan tidak mahu terus dibelenggu oleh perbuatan terkutuk orang lain.

“Saya berasa sangat sunyi pada masa itu, tetapi semuanya akan baik-baik saja. ia adalah menyakitkan dan sukar, tetapi hidup adalah lebih daripada apa yang orang lain telah lakukan kepada kita,” akhirnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengikutnya memberi kata-kata semangat dan meluahkan rasa sayu atas nasib yang menimpa kepadanya. 

 

Artikel Berkaitan: Afdlin Shauki Akui Sudah Akhiri Zaman Duda, Enggan Bongkar Kisah Personal

Aqilah Paharuzi