Marcell Tak Pernah Fikir Nak Pencen, Kongsi Penjagaan Diri Di Usia 46 Tahun

Penyanyi dari Indonesia, Marcell memberitahu dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk berhenti menyanyi selagi hayat masih dikandung badan.

Menurutnya, selagi dirinya masih sihat dan berkemampuan untuk menyanyi, dia tidak akan pencen.

“Itu saya tak mahu kerana manusia kalau tetapkan sasaran untuk berhenti atau pencen, bukan saya. Sebagai penyanyi, tiada istilah pencen untuk saya.

“Menyanyi itu berbeza kalau saya jadi birokrat atau ahli politik yang ada waktu berhentinya. Sebagai penyanyi, selagi hayat dikandung badan, sampai saya ‘dipanggil’, di situlah saya terhenti. 

“Nanti kalau tetapkan sasaran misalnya berhenti pada usia 50 tahun, ditakdirkan pula dugaan contohnya sakit atau apa,” katanya semasa ditemui di sidang media konsert Trio Terhebat Vol. 1, di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.

Selain itu, pelantun lagu Takkan Terganti ini mengambil inisiatif untuk belajar teknik nyanyian dengan mengambil kursus vokal bagi menjaga dan mengekalkan suaranya.

“Saya baru tamat menjalani sebuah kursus. Sebelum ini saya sempat ambil jurusan menjadi penyanyi tenor atau vokal klasikal. Hanya untuk mendapatkan teknik supaya mampu menyanyi sampai umur 90 tahun.

“Bagaimana caranya saya tetap boleh menyanyi seperti sekarang. Kerana banyak penyanyi antarabangsa seperti Tom Jones atau sesiapapun yang usianya sudah lanjut tapi masih boleh menyanyi dengan nada sama, tidak berubah,” ujarnya.

Disoal mengenai penjagaan diri di usia 46 tahun, dia sangat menitikberatkan aspek kesihatan dan dikelilingi dengan orang-orang yang mempunyai tujuan sama.

“Penjagaan bermakna teknik, teknik di mana saya kena cari dengan latihan dan menjaga fizikal. Senaman, istirehat, pemakanan yang betul. Juga disokong persekitaran orang yang ambil berat hal serupa.

“Kalau kita hendak hidup sihat tapi kiri kanan kita tidak, sukar. Isteri saya jurulatih senaman, jadi kami sama-sama saling menyokong dan mengingatkan. Kuncinya mencari keseimbangan hidup,” jelasnya.

Konsert Trio Terhebat Vol. 1 anjuran Icon Entertainment Malaysia menampilkan Marcell, Once Mekel daripada Dewa, dan Bams (Samsons). 

Konsert tersebut bakal berlangsung pada 4 Mei nanti, jam 8.30 malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dimana penjualan tiket akan bermula pada Jumaat ini.

Maya Basir