Maryam Durian Kimchi Keguguran Anak Kedua – “Kami Percaya Dengan Takdir & Perancangan Allah…”

Personaliti media sosial popular, Maryam Younarae atau lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi mendedahkan dia mengalami keguguran anak kedua pada 17 Mei lalu.

Isteri kepada pempengaruh sensasi Ryzal Ibrahim memaklumkan usia kandungannya ketika itu masih muda dan belum matang.

“Saya tak pernah bagi tahu mengenai perkara ini kepada mana-mana pihak. Sebenarnya, saya baru sahaja keguguran anak kedua.

“Ketika itu usia kandungan masih awal. Baby tak nampak lagi.. Baru sahaja beberapa hari saya dan Ryzal dapat tahu mengenai saya keguguran iaitu pada 17 Mei lalu,” katanya dalam nada sebak.

Berkongsi lebih lanjut mengenai berita duka itu, Maryam berkata dia mengetahui dirinya hamil dua minggu lalu selepas badannya menunjukkan beberapa simptoms.

“Saya tahu saya sedang mengandung sebab badan saya menunjukkan beberapa simptoms mengandung seperti selalu rasa nak buang air kecil, sakit perut macam nak datang haid dan makan banyak.

“Saya buat pemeriksaan menggunakan test kit pregnancy digital dan keluar double line. Tetapi selepas dua minggu saya bleeding dan darah banyak keluar.

“Ryzal bawa saya buat pemeriksaan di hospital dan doktor ambil darah saya untuk mengesahkan saya mengandung tetapi hormone dah berkurangan… Jadi saya keguguran,” katanya kepada XTRA.

Disoal mengenai punca disebalik keguguran itu, Maryam berkata berkemungkinan dia terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Mungkin ketika itu saya tak terlalu jaga badan dan kesihatan saya. Dalam masa yang sama saya sedang menjalani penggambaran, sibuk bekerja dan menjaga anak, Rina.

“Malah, dua bulan lalu saya terkena jangkitan shingles (kayap) dan urine infection jadi keadaan badan saya sangat teruk. Saya rasa sebab itu juga baby tak boleh survive.

“Jadi untuk masa sekarang saya perlu fokus menjaga kesihatan diri dan badan.. Eat well, rest well, sleep well,” ujarnya.

Maryam berkata demikian ketika ditemui di Suke Raya 1st Anniversary bertempat di pusat membeli belah MyTown pada Selasa.

Ryzal dan Maryam bagaimanapun akur atas ketentuan Illahi atas ujian yang diberikan kepada mereka.

Jelas Maryam, suami tercintanya Ryzal amat menantikan anak kedua semenjak usia anak sulungnya, Rina mencapai setahun.

“Bila pertama kali saya tunjuk pregnancy test kit double line kepada Ryzal dia sangat teruja sebab dah tunggu lama. Sejak Rina umur setahun dia dah tunggu anak kedua.

“Dia menangis ketika tahu saya keguguran.. Tapi suami saya percaya dengan perancangan Allah swt. Mungkin kami belum bersedia untuk ada anak kedua, perlu beri tumpuan kepada Rina… Saya percaya rezeki akan datang lagi, kami akan terus mencuba,” akhirnya.

Aqilah Paharuzi