Mas Idayu Jawab Dakwaan Rumah Tangga Bergolak – “Mummy Okey Saja & Bahagia”

Semalam kecoh di media sosial apabila tular dakwaan yang mengatakan rumah tangga penyanyi dangdut popular, Mas Idayu goyah biarpun baru sahaja sebulan mendirikan rumah tangga.

Mengulas isu tersebut, Mas Idayu atau lebih mesra disapa mummy tampil menepis dakwaan tersebut dan mengakui geram dengan sesetengah pihak yang cuba menganggu kehidupannya.

“Apa yang buat mummy marah ni adalah keluar satu artikel bertajuk “Baru bahagia dah berduka”.

“Mummy baru sahaja mendirikan rumah tangga, baru sangat-sangat, harini (semalam) genap sebulan berkahwin.

“Mummy tengah fikir apa yang korang nak sebenarnya, saya dah tunjukkan kebahagiaan, hari perkahwinan, percintaan, semua mummy dah berkongsi, tetapi benda yang mummy tak kongsi, anda boleh tahu,” ujarnya.

Mengenai perkongsiannya sebelum ini yang didakwa menjadi punca isu ini berlaku, Mummy menjelaskan hantaran tersebut hanyalah sekadar perkongsian biasa.

“Daripada kapsyen yang sedih itu, sebenarnya daripada dulu lagi, sebelum daddy wujud lagi, saya suka letak kapsyen sedih, happy, kelakar, korang tak tengok ke kapsyen sebelum.

“Sebenarnya takde apa-apa pun Mummy okey saja, kalau nak tahu apa-apa, tanyalah, kalau orang nak berkongsi atau tidak, itu ‘personal’ mereka, tak perlu ambil tahu, ini rumah tangga orang,” jelasnya.

Pelantun lagu Cintaku 100% itu juga menegaskan dia dan suami dalam keadaan baik sahaja dan berharap semua dapat mendoakan kebahagian buat dirinya sekeluarga.

“Mummy ada keluarga, daddy pun ada keluarga, tak faham ke mungkin keluarga akan malu, saya tak boleh terima apa yang korang tulis, mummy okey saja dan bahagia, tiada apa yang perlu saya bagitahu korang.

“Kalau boleh doakanlah yang baik-baik, saya banyak kerja, saya pun baru habis acara, apa yang korang nak sebenarnya.

“Mummy okey sahaja, sejak-sejak berkahwin sampai sekarang, baru sebulan ni, saya okey saja, inai pun belum hilang, jangan buat andaian macam tu.

“Urusan rumah tangga saya, saya yang uruskan, anda doakanlah saya bahagia, itu saja,” tutupnya.

Mas Idayu mendirikan rumah tangga bersama Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa pada 16 September lalu.

Sumber: Instagram masidayu1001

Khairil Khusyairi