Masdo ‘Naik Harga’, Tanggungjawab Untuk Kongsi Rezeki Dengan Team Produksi – “Dulu Kami Lima Ke Enam Orang Saja, Sekarang Dah Berbelas”

Persis situasi kenaikan harga barang mentah di pasaran begitulah juga yang berlaku kepada kumpulan Masdo apabila mengakui menaikkan bayaran dalam sesebuah persembahan.

Bercakap kepada XTRA, Masdo menjelaskan kenaikan harga tersebut amat wajar dan setimpal dek kerana ada pasukan produksi yang perlu dibayar oleh mereka.

“Naik sikitlah.

“Kami sendiri juga berkembang dengan terhasilnya produksi. Dulu kami hanya lima ke enam orang sahaja. Tapi kini dah berbelas orang.

“Jadi disitu kami ada tanggungjawab untuk memberikan rezeki juga pada pasukan produksi kami.

“Dengan harga yang setimpal jadi semua orang boleh hidup, sesuailah dengan keadaan dan juga apa yang kita berikan,” ujar Masdo.

Masdo ditemui pada Konsert Fenix360 Live In Malaysia di Jio Space, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, finalis Anugerah Juara Lagu ke-38 ini turut menafikan dakwaan yang mengatakan mereka sukar untuk didekati.

“Kami okey saja, kami juga sibuk dalam industri muzik yang kami hasilkan.

“Tak adalah susah untuk didekati,” ujar mereka ringkas.

Untuk info, AJL 38 bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

Khairil Khusyairi