Masih Berbisa Di Usia 56 Tahun, Ziana Zain Pukau Lebih 5,000 Peminat Dengan Persembahan Mantap

Penyanyi popular, Ziana Zain berjaya membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk memberikan yang terbaik buat seluruh peminatnya.

Ini dibuktikan sendiri pemilik nama Siti Roziana Zain, 56, menerusi kejayaan konsertnya, Ziana Zain Konsert 2024 yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Membawakan sebanyak 20 buah lagu disertai dengan pesanan penuh syahdu, Ziana Zain ternyata bukan sahaja penghibur yang mempunyai kelasnya tersendiri, malah wajar dijadikan contoh dan inspirasi agar sentiasa bersikap membumi.

 

Disambut meriah 5,000 peminatnya, Ziana Zain tampil memukau dengan busana anggun rekaan Rizman Ruzaini sebelum memulakan konsert dengan 7 buah lagu pembukaan iaitu, Ada Suara Ada Cinta, Dengarkanlah, Satu Detik, Sangkar Cinta, Tiada Kepastian, Kasih Ku Pertahankan dan Anggapanmu.

Kemeriahan konsert diteruskan apabila pemilik gelaran Diva Pop ini muncul dengan lagu yang dipetik dari filem popularnya bersama Awie berjudul Merah iaitu Senja Nan Merah, Lara, Bersama Akhirnya, Kekal, Puncak Kasih dan Setiaku Di Sini.

Namun, ketiadaan penyanyi itu pada malam konsert membuatkan Ziana Zain memberi ruang buat seluruh peminatnya yang hadir menyanyi bersama menggantikan nyanyian Awie.

 

Selain memukau dari segi vokal, Ziana Zain terus mencipta fenomena dalam konsertnya tersendiri apabila tampil ekstravaganza dengan busana mewah rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail.

Untuk kali ini, Ziana tidak ketinggalan membawakan lagu-lagu ‘killer’ nya  seperti, Terkenang Jua, Fatalistik, Kemelut Di Muara Kasih, Berpisah Jua, Bukan, Dingin dan Madah Berhelah.

 

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu bukan sahaja dianggap sebagai konsert ‘intimate’ Ziana Zain dan peminatnya, tetapi ia merupakan satu apresiasi paling besar buat penyanyi itu.

Salma Syahbuddin