Masih Berkawan Baik Dengan Bekas Tunang, Ewal Akui Dah ‘Move On’ – “Kalau Nak Bergaduh Tu Lagi…”

Vokalis kumpulan Kristal, Ewal Ismail masih menjalinkan hubungan baik dengan bekas tunang yang juga penyanyi, Adda Baharuddin meskipun wanita itu sudah berkahwin pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, tiada sebab untuk bermusuh dan berdendam dengan Adda dan abangnya, Rody yang merupakan pemain gitar Kristal kerana sedar mereka tidak berjodohan.

“Alhamdulillah, hingga sekarang hubungan saya bersama Rody dan Adda tetap sangat baik dan profesional.

“Kami tiada masalah langsung selepas apa yang berlaku kerana masing-masing bersikap matang.

“Adda sendiri masih lagi datang ke studio saya untuk melakukan record lagu cover dan sebagainya kerana kami bekerja secara profesional. Kami pun bukan budak-budak lagi,” katanya semasa ditemui di majlis sidang media Konsert Annivesari Ke-33 Damasutra The Journey, baru-baru ini.

Mengulas tentang isu patah hati, Ewal menyatakan seorang ‘rocker’ sejati tidak perlu bersedih terlalu lama dan dia redha dengan takdir yang sudah tertulis.

“Kita rockers. Hari ni putus, semalam okay dah. Kami pun dah berkawan sejak kecil lagi, jadi kalau nak gaduh tu lagi awkward.

“Sekarang fokus saya pada karier kerana undangan persembahan nyanyian pun masih membangun sangat. Saya fikir lebih baik berikan tumpuan pada mencari duit dulu dan stabilkan ekonomi.

“Saya pun belum terfikir lagi nak bercinta buat masa ini. Saya selesa dengan kehidupan solo dan banyak benda juga yang saya nak buat lebih-lebih lagi, undangan persembahan menyanyi solo pun banyak diterima,” ujarnya.

Terdahulu, Ewal pernah bertunang dengan Adda atau nama sebenar Nur Syuhada Baharuddin pada 10 September tahun lalu.

Maya Basir