“Masjid Adalah Pangkalan Untuk Masyarakat” – Alif Satar Perjelas #GengSubuhMacamJumaat Tiada Unsur Politik

Pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar tampil membuka mulut susulan ada pihak yang menganggap gerakan #GengSubuhMacamJumaat berkait isu politik.

Katanya memetik laporan Harian Metro, apabila tujuan untuk mengimarahkan masjid secara berjemaah terutamanya pada waktu subuh, ia adalah tuntutan agama dan sama sekali  tidak mengira fahaman politik seseorang.

Malah, dia yakin bahawa objektif utama gerakan #GengSubuhMacamJumaat adalah untuk mengajak lebih ramai orang untuk menunaikan solat subuh di masjid.

“Saya tak kisah kalau orang nak cakap apa pun sebab Allah lebih tahu. Janji, saya nak datang solat di masjid saja. Walaupun ada perbezaan pendapat atau latar belakang, benda yang semua orang boleh bersetuju adalah untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Kita perlu menjaga kesucian itu.

“Lagipun, ini satu perkara yang saya yakin, masyarakat memang tahu. Sebenarnya, objektif utama kita adalah untuk mengajak orang ramai pergi menunaikan solat dan ia bukan panggilan daripada saya pun. Itulah keindahannya. Ini tuntutan agama,” katanya.

Tambahnya lagi, masjid merupakan pangkalan untuk masyarakat, bahkan dengan program sebegini orang bukan Islam juga berminat untuk hadir ke masjid.

“Jadi, tak kisahlah apa pun sokongan politik anda, semuanya datang ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan bersifat neutral,” ulasnya.

Terdahulu, sambutan terhadap #GengSubuhMacamJumaat mendapat sambutan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di luar negara juga.

ARTIKEL BERKAITAN:Alif Satar Terharu 3,000 Jemaah Sertai #GengSubuhMacamJumaat, Siap Buat Larian… Menteri Pun ‘Join’ & Puji 

ARTIKEL BERKAITAN:Individu Dakwa #GengSubuhMacamJumaat Dapat Sambutan Hangat Hanya Untuk Berjumpa Artis? Ini Respons Alif Satar

ARTIKEL BERKAITAN:Teruskan #GengSubuhMacamJumaat Di Luar Negara, Alif Satar Seronok Kongsi Momen Di Masjid Abu Dhabi

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin