Syamel Anggap Penyebar Fitnah Tidak Layak Dapat Perhatian

Penyanyi Syamel enggan bersemuka dan menganggap penyebar fitnah yang mendakwa isterinya, Ernie Zakri ada skandal dengan seorang pemuzik lelaki tidak layak mendapat perhatian mereka.

Menurut Syamel, dia tidak mahu melayan provokasi tersebut dan tidak terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Sejujurnya saya dan isteri tak nak ambil tahu atau layan orang sebegini sebab merasakan dia tak layak pun dapat sebarang komen mengenai gangguannya terhadap kami.

“Bukan sahaja berjumpa, kami juga tidak nampak keperluan mengajukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana dia juga tak layak untuk membuang masa kami.

“Jika dibawa ke muka pengadilan, tentu saja menuntut komitmen tinggi. Jadi bagi saya, dia memang tidak boleh diberikan perhatian sesiapa,” katanya.

Memetik laporan Kosmo! Online, Syamel tidak mahu memanjangkan isu terbabit sebaliknya menganggap penyebar fitnah terbabit hanya peminat yang terlalu obses.

“Mungkin orang itu terlampau meminati kami dan menganggap kami kepunyaan mereka, cuma harapnya jangan ada yang percaya melulu,” jelasnya.

Sebelum ini, Ernie memaklumkan dia sudah berdepan dengan gangguan sedemikian daripada individu misteri sejak bertunang lagi.

Ernie bagaimana pun menganggap individu terbabit berkemungkinan mempunyai masalah mental sekali gus menepis dakwaan bahawa dirinya mempunyai skandal.

Sekadar info, Syamel dan Erni telah berkahwin pada 26 Mac 2021 dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain