Mat Saleh Celup Perdaya Penduduk Kampung Di Slot Sakura

Slot Sakura di TV3 akan diisi dengan sebuah drama bersiri 20 episod arahan Hashim Rejab iaitu Kampung Mat Salleh.

Drama terbitan Country Universal Sdn Bhd ini mengisahkan tentang seorang ‘despatch’ yang dilakonkan oleh Aiman Nasir Wynne diarahkan muntuk menghantar sebuah bungkusan penting ke utara tanah air.

Namun, perjalanannya terhenti akibat daripada terlibat dalam satu kemalangan yang telah membuatkan dia hilang ingatan dan menyebabkan dia lancar bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Selepas kemalangan tersebut, Faizal tersesat ke sebuah kampung dan disalah anggap sebagai ‘mat saleh’ dek kerana rupa parasnya seperti orang yang berasal dari Eropah malah penduduk kampung memanggilnya dengan nama Saleh.

Kehadiran Faizal ke kampung tersebut juga sedikit sebanyak membantu masyarakat kampung tersebut yang kebetulan mengharapkan seseorang boleh mengajar untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana mereka akan menyertai satu pertandingan choral speaking.

Namun, ada juga penduduk kampung yang kurang senang dengan kehadiran Faizal di kampung mereka.

Selain Aiman, pelakon lain yang bekerjasama dalam menjayakan drama ini ialah, Nelissa Nizam, Wanna Ali, Kazar Saisi, Wanns Ahmad, Kamarul Eqi, Fathil Dani, Mazlee Razalee dan Amy Nur Tinie.

Drama ini juga akan bersiaran bermula 18 Mei 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 6.00 petang.

Izzi Farhana