Categories: Hiburan

Menggeletar Dengar Kata-Kata Tok Ram, Rasa Ditertawakan Netizen… Aina Abdul Sedar Diri, Lebih Bersemangat Terbitkan Imaji

Akui terkesan dengan komen pedas Datuk Ramli MS, penyanyi Aina Abdul mengaku rasa tercabar dan terkesan dengan kata-kata terbabit.

Menurut pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani itu, sewaktu menjadi juri di sebuah pertandingan nyanyian, pengarah muzik tersohor itu memberikan kritikan bahawa seseorang penyanyi haruslah memiliki album terlebih dahulu untuk menganjurkan konsert.

Kata-kata pedas tersebut telah meninggalkan kesan yang mendalam di hati pelantun lagu Terus Hidup itu.

“Sebenarnya, kata-kata Tok Ram semasa kami sama-sama menjadi juri untuk program Big Stage sebelum ini memberi kesan kepada saya. Ketika itu, saya dengar dia cakap seorang penyanyi, sebelum sibuk nak buat konsert, kena ada album dulu.

“Tak tahu kenapa, saya jadi menggeletar bila dengar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya boleh rasa seolah-olah semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa ada suara-suara sinis kata ‘padan muka’.

“Jujurnya, memang saya rasa tercabar, rasa sangat kerdil ketika itu bila duduk bersebelahan dengan Tok Ram. Rasa macam nak balik terus pun ada. Kalau saya ada kuasa magis, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya,” katanya kepada XTRA.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran album terbaharunya yang berjudul Imaji di Lereng Tanah, Hulu Langat, semalam.

Mengaku sangat tertekan dengan apa yang berlaku pada malam itu, Aina menjadikannya sebagai pembakar semangat dalam menyelesaikan pembikinan album tersebut.

Aina sebenarnya tidak menafikan bahawa sebagai seorang penyanyi, dia sepatutnya perlu mempunyai album dan tidak boleh selesa dengan single semata-mata.

Bahkan, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37(AJL37) itu turut memberitahu bahawa pelancaran album sulungnya dapat menepis dakwaan yang mempertikai tindakannya menganjurkan konsert walaupun tidak mempunyai album.

“Situasi ini menyebabkan saya turut bersedih. Kalau artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu hit, tetapi tetap boleh lakukan konsert.

“Saya cuba bawa satu ‘movement’ di mana penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, tapi boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase’ dan sebagainya.

“Kalau di luar negara boleh, kenapa di sini tidak boleh bukan? Saya rasa stigma ini perlu diubah,”katanya.

Aina menyifatkan album Imaji itu sebagai hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya dan menjadikan ia sebagai cenderahati kepada peminat setia yang telah lama menantikan album sulungnya.

Imaji mengandungi 14 buah lagu baru seperti Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Imaji, Kunci, Kamu, Kejam dan banyak lagi.

Syamir Shafie