#mentor7: ‘Kalau Boleh Saya Nak Megat Dan Pasya Ke Final Tapi Apakan Daya…’ Aizat Sebak Penyingkiran Protege

Penyanyi dan mentor, Aizat Amdan mengaku sebak dengan penyingkiran protegenya, Megat pada konsert keenam program Mentor 7, Ahad lalu.

Aizat ketika ditemui memberitahu dia meletakkan harapan yang tinggi terhadap dua protegenya untuk mara ke final namun akur dengan rezeki Megat hanya sampai ke minggu keenam.

“ Sudah tentu saya sedih melihat Megat tersingkir kerana kalau boleh saya mahu lihat dia dan Pasya di pentas final. Megat sudah lakukan yang terbaik namun rezeki untuknya mungkin di luar sana.

“ Ketiadaan Megat di dalam Mentor 7 bukan saja memberi kesan kepada saya dan Pasya malah seluruh pasukan produksi. 

“ Megat merupakan antara peserta yang paling murah hati. Saya masih ingat waktu pertama kali kami berjumpa, dia beri saya baju bundle Bob Marley. Saya harap Megat akan terus bersemangat dalam membina nama di luar sana. Saya tidak akan berhenti menyokongnya… Insya Allah,” katanya kepada xtra.com.

Sementara itu, Aizat sentiasa mengingatkan kedua protegenya tentang matlamat utama sepanjang berada di dalam program realiti Mentor 7.

” Saya sentiasa berkata kepada mereka, tujuan masuk ke sini bukan untuk bergelar juara semata-mata tetapi keutamaan adalah niat mendapatkan ilmu.

“ Saya dah berjanji dengan mereka ikatan antara kami bukan hanya di pentas Mentor 7 sahaja tetapi sampai bila-bila. Insya Allah saya akan guide mereka dalam bidang nyanyian. Ikatan persahabatan antara saya dengan para protege akan kekal sampai bila-bila,” katanya.

Tambah Aizat, dia juga tidak keberatan untuk menjemput mereka di mana-mana persembahannya selepas ini. Cayalah Aizat!

SGMS Faida