#Mentor7: Kenapa Aizat Amdan Pantau Gaya Hidup Protege?

Tiga hari lagi, penyanyi Aizat Amdan bakal memulakan tugas sebagai mentor dalam program Mentor 7.

Pelantun lagu Sampai Ke Hari Tua ini memaklumkan dia amat menitikberatkan tahap kesihatan ketiga-tiga protégé di bawah bimbingannya iaitu Faizul Ashraf, Megat dan Faris Malek.

“ Sebagai persediaan, saya sering bertanya tentang aktiviti harian terutama bab pemakanan dan senaman. Stamina amat penting sebelum naik ke pentas.

” Bukan saja dalam soal penampilan dan percakapan, saya juga ambil tahu soal kesihatan. Semua ini penting untuk jadi lain daripada yang lain. 

“ Saya akan kongsi segala ilmu yang saya pernah dapat dahulu. Saya juga menetapkan konsep ‘memberi’ di antara kami sepanjang tempoh program ini berlangsung,” katanya di sidang media Mentor 7, baru-baru ini.

Bercakap tentang pemilihan protege yang kesemuanya lelaki, Aizat mempunyai alasan tersendiri.

“ Bukan tiada calon peserta wanita yang datang, ramai. Tetapi saya melihat tiga anak muda ini ada keunikan tersendiri.

“ Saya bertemu mereka sebanyak tiga hingga 4 kali dan saya lihat ada peningkatan dalam carta. Sepanjang tempoh uji bakat dijalankan, saya membuat satu carta khas untuk melihat proses peningkatan calon yang disenarai pendek.

“ Walaupun ramai yang memiliki vokal berkualiti, ada yang datang kali kedua lupa lirik dan sebagainya. Ketiga-tiga protege di bawah pantauan saya amat konsisten. Saya harap mereka terus konsisten sepanjang program Mentor 7 berlangsung. Yang penting niat mereka untuk belajar ilmu muzik juga terus konsisten,” katanya.

Mentor 7 turut memperkenalkan pengacara iaitu Nana Mahazan, Shuk Balas dan Sarancak.

Konsert pertama Mentor 7 akan bersiaran pada 28 Oktober di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Sham Alam pada 9 malam di TV3.

SGMS Faida