Categories: HiburanTrending

“Mereka Mahu Saya Bawa Watak Wanita Cina.. Mana Ada Wanita Cina Bertudung?” – Margaret Gan Dah Lama Tak Terima Tawaran Lakonan

Pelakon veteran, Margaret Gan, 80, mendedahkan sudah lama tidak berlakon iaitu sebelum memeluk agama Islam lagi.

Memetik laporan Berita Harian, Margaret mendedahkan dia ada menerima tawaran lakonan enam bulan lalu tetapi wataknya tidak menepati syariat.

“Enam bulan lalu saya ada terima tawaran, tapi wataknya tidak sesuai dengan penampilan saya.

“Mereka mahu saya melakonkan watak wanita Cina. Mana ada wanita Cina bertudung,” katanya.

Susulan itu, Margaret memaklumkan dia memberi cadangan kepada produksi tersebut untuk mengubah skrip serta menukarkan wataknya kepada mualaf agar sesuai dengan penampilannya yang berhijab.

Namun, dia meluahkan rasa kecewa apabila cadangannya tidak mendapat maklum balas sebaliknya mereka menyepi tanpa khabar berita.

“Saya ada juga beri cadangan supaya mereka ubah skrip, jadikan watak saya sebagai mualaf, itu baru sesuai.

“Tetapi mereka senyap sahaja tanpa sebarang berita. Saya pun tiadalah bertanya lanjut,” luahnya.

Pasrah dengan ketentuan takdir, Margaret tidak akan sesekali merungut.

Dedah Margaret, dia bersyukur kerana dijaga oleh anaknya. Segala perbelanjaan harian ditanggung oleh anaknya dan dia tidak perlu risau soal kewangan.

“Orang tua seperti saya bukan banyak manapun nak makan. Apa yang mereka sediakan, kita makan sahaja,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Margaret memeluk agama Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan pada 15 Februari tahun lalu.

Sumber :BH

Syamir Shafie