Meriah! Konsert Pertama Stacy Gegar Dewan Filharmonik Petronas

Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Presents Stacy tampil meraih sorakan padu dari penonton seusai acara itu dijalankan, pada Sabtu lalu.

Konsert yang berlangsung di DFP Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu juga telah mencatatkan sejarah apabila peminat boleh secara langsung di platform penstriman, YouTube DFP.

Menurut Stacy, dia berasa bersyukur dan berpuas hati apabila konsert solo pertamanya itu menerima sambutan yang baik dari kira-kira 1,00o penonton yang hadir.

“Alhamdulillah, DFP siarkan konsert saya atas talian. Jadi, keluarga saya di Sabah yang tidak boleh datang ke Kuala Lumpur, berpeluang menonton sama.

“Terima kasih DFP untuk malam bermakna ini. Tetapi kalau mahu cakap saya puas hati, manusia memang tidak pernah puas.

“Namun, saya puas hati apabila nampak semua datang malam ini termasuk dua anak saya, Bella dan Eshaal.

“Ini konsert pertama saya di DFP. Jadi, dengan begini, serius saya katakan, saya tidak sangka boleh ada momen begini selepas melahirkan anak,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam turut meluahkan rasa leganya dapat menjalankan konsert ini dengan baik biarpun baru sahaja melahirkan anaknya, Isa.

“Memang penat… Sudah beberapa hari saya tidur-tidur ayam. Jadi, saya berlawan dengan mental kerana persembahan ini terlalu holistik. Apatah lagi untuk konsert ini berbeza kerana saya ambil tahu semua perkara.

“Jadi, kalau diberi peluang lagi, ada banyak yang saya mahu beri. Bukan hendak cakap tidak cukup, kami harap mudah-mudahan peminat gembira dan terus menyokong saya berkarya.

“Saya anggap kejayaan malam ini adalah permulaan baharu buat saya selepas menang Akademi Fantasia (AF) musim keenam, menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, pelantun lagu Aku Stacy itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada suaminya, Akim Ahmad yang banyak membantu dalam menjayakan konsert tersebut.

Berjaya mengumpulkan kira-kira 1,000 peminat menyaksikan konsert itu di DFP, Stacy berterima kasih kepada suaminya, Akim Ahmad yang banyak membantu.

“Terima kasih Akim kerana banyak menyelamatkan saya malam ini. Dia banyak menyaksikan proses saya merealisasikan konsert ini, misalnya, melihat saya berlatih menari dalam gelap di rumah.

“Saya bersyukur dia ada bersama saya. Pasti ada kekurangan tetapi mudah-mudahan, ini permulaan yang baik untuk karier saya dan Akim,” katanya.

Demi mengekalkan momentum yang sedang membuak naik, pasangan itu turut meluahkan hasrat mereka untuk mengadakan konsert di kelahirannya, Sabah.

“Namun, kami masih dalam fasa bermimpi berikutan momentum sudah ada. Kami sudah tahu cara hendak pentaskan konsert, jadi, kami mahu teruskan,” katanya.

Pada konsert malam tadi, Stacy dan Akim tampil berduet menerusi lagu Menggegar Dunia dan Aku, Kau & Muzik.

Stacy juga turut menyampaikan lagu popular antaranya Pakai Buang, Kasanova, Jahat, Khayal, Pelangi Senja, Bosan, Gagap, Not For Sale, Kisah Dongeng, Peluk, Aku Stacy dan Duit serta single baharunya, Teriak.

Fatin Nurain