“Mestilah Saya Berpihak Kepada Palestin” – Wan Hanafi Su

Pelakon senior, Wan Hanafi Su meluahkan rasa kesal apabila ditanya soalan tidak munasabah mengenai isu Palestin-Israel terhadapnya sehingga mendapat perhatian warganet.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Wan Hanafi berkata, dia akui terkejut pada mulanya apabila ditanya soalan sebegitu dalam bentuk permainan oleh sebuah blogger baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dia menegaskan bahawa dia tetap pendirian untuk bersama Palestin dan bukannya ‘neutral’ seperti yang didakwa warganet sebelum ini.

“Dia tanya sama ada saya pilih Israel atau Palestin. Saya terkejut dengan soalan itu dan saya sempat lemparkan senyuman sinis.

“Saya cakap tak pilih mana-mana sebab tak sangka ditanya soalan yang tak munasabah seperti itu.

“Bukankah saya ini orang Islam? Sebagai orang Islam dan ditanya begitu, rasionalnya mestilah saya berpihak kepada Palestin.

“Lainlah saya ini agama dan berbangsa lain. Kenapa pihak blogger itu tergamak tanya saya soalan begitu?” katanya.

Biarpun hebat dikecam, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini tidak mahu isu ini berlarutan dan menganggap ia salah faham.

“Tak apalah, walaupun ramai yang mengecam, saya tak ambil hati. Saya okey sahaja sebab orang ramai mungkin tersalah faham.

“Memang kita sebagai manusia ini semua buat silap, jadi kita maafkan sahajalah. Tak payahlah panjangkan isu ini,” katanya.

Terdahulu, tular sepotong rakaman video yang memaparkan Wan Hanafi diaju soalan seperti diberikan dua pilihan, sama ada untuk memilih Palestin atau Israel oleh blogger tersebut.

Khairil Khusyairi