Categories: HiburanTrending

Ibu Tak Restu, Puteri Sarah Dedah Kena Habis Belajar Dahulu Baru Boleh Jadi Artis

Pelakon sensasi Puteri Sarah Liyana mendedahkan ibunya tidak merestui dia bergelar artis di awal pembabitannya dalam industri seni dahulu.

Akui sedih ekoran mendapat tentangan hebat daripada ibu, Puteri Sarah bagaimanapun akur kerana setiap perkara yang ingin dilakukan perlulah mendapat keizinan serta reda seorang ibu terlebih dahulu.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon drama Andai Itu Takdirnya tersebut menyifatkan sesuatu kerja yang dilaksanakan akan menjadi mudah dan lancar setelah mendapat berkat dan doa daripada orang yang telah melahirkan kita.

“Sejak usia semakin meningkat, apa yang saya perasan ialah mengenai restu dan berkat. Tanpanya, apa sahaja yang dilakukan pasti tidak menjadi.

“Keberkatan Allah ialah nombor satu. Tetapi berkat dan restu daripada seorang ibu ialah satu hal yang lain. Jika diikutkan, ibu saya paling tidak suka saya berkecimpung sebagai artis namun tetapkan syarat supaya saya habis belajar,” katanya.

Meskipun ibunya sangat tegas dan cerewet soal kehidupan serta masa depan anak-anak, Puteri Sarah bagaimanapun rasa bersyukur dan dirinya beruntung kerana memiliki seorang ibu yang sangat mengambil berat tentang pelajarannya.

Graduan Ijazah Pengurusan Hotel dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, ibunya sangat mementingkan akademik dan dia perlu menamatkan pelajaran terlebih dahulu sebelum berkecimpung dalam dunia lakonan.

“Biarpun sedikit lambat berbanding orang lain namun saya bersyukur berjaya bergelar graduan. Bukan apa, apabila sudah bekerja dan raih wang sendiri, jadi gelap mata pula,” ujarnya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie