‘Minta Maaf Atau…’ – Linda Rafar Mahu Saman Netizen

“Saya nak mereka buat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas notis diterima. Jika tidak berjawab, tindakan saman bakal diambil,” kata penyanyi Linda Rafar di sidang media berhubung isu fitnah jururawat di Hospital Shah Alam. 

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar mengambil keputusan memfailkan saman terhadap 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan atas insiden yang berlaku sebelum ini. 

“Kami sudah mengenal pasti individu terbabit berdasarkan komen keterlaluan mereka. Buat masa sekarang, kami masih dalam proses mengumpul butiran lanjut mereka. Selepas itu, baru notis akan dihantar,” katanya.

Linda menerusi wakil peguamnya, Nurul Hafidzah & Associates berkata, notis tuntutan itu akan dihantar dalam tempoh sebulan bermula tarikh hari ini.

Penyanyi itu juga berharap insiden ini dapat memberi pengajaran kepada semua pengguna laman sosial supaya lebih berhati-hati di masa akan datang.

Sementara itu, Linda juga memaklumkan dia tiada niat memperbesarkan masalah ini.

“Sebelum mak meninggal, kalau boleh mereka nak saya selesaikan cara baik dengan mengalah dan minta maaf. Ketika itu pun, saya tak terlintas nak sampai tahap ini.

“ Tetapi, selepas mak meninggal 11 Januari lalu, perkara ini tak berhenti sebaliknya semakin teruk. Mereka kata sampai bila nak pijak keluarga kami. Atas nasihat peguam dan selepas mengambil kira banyak perkara, saya setuju failkan saman. 

“ Saya tak pernah berasa menyesal dengan apa dibuat. Saya hanya mempertahankan hak ibu. Lagi pula, ini bukan untuk kepentingan saya seorang tetapi orang lain juga yang pernah mengalami nasib sama,” katanya.

Linda menjadi artis pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna laman sosial.

Dalam masa sama, kes membabitkan saman jururawat terhadap dirinya sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam.- Harian Metro.

 

SGMS Faida