“Moga Yang Paling Buruk Sebenarnya Yang Terbaik Untuk Kami”- Batalkan Pernikahan Dengan Syafiq Kyle, Mimi Lana Luah Perasaan

Pelakon jelita, Mimi Lana reda di atas dugaan yang menimpa hubungannya bersama pelakon, Syafiq Kyle apabila terpaksa membatalkan pernikahan mereka yang cuma berbaki satu minggu sahaja lagi.

Mimi menerusi hantaran di Instagram miliknya seakan meluahkan rasa hati mengenai situasi yang berlaku.

Menurutnya, dugaan yang datang ini dapat menjadikan dirinya dan Syafiq menjadi manusia yang lebih baik.

“Semoga Allah merahmati saya dan dia serta memberikan kami kemudahan.

“Semoga Dia mengizinkan saya dan dia melalui ujian ini dengan penuh sabar dan menjadikan kami muslim yang lebih baik.

“Semoga apa yang saya dan dia percaya sebagai yang paling buruk sebenarnya adalah yang terbaik untuk saya dan dia di dunia dan di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Mimi juga berharap agar dia diberikan kekuatan dan kesabaran untuk melalui ujian ini.

“Semoga Allah memberi saya dan dia kekuatan dan kesabaran untuk terus melangkah dan dikelilingi dengan insan yang positif yang baik hatinya.

“Semoga setiap air mata yang kita tumpahkan menjadi jalan terbaik untuk menghapuskan dosa-dosa kita dan semoga doa yang kita panjatkan dimakbulkan Tuhan,” jelasnya.

Pada Jumaat, pasangan sama cantik, sama padan ini mengejutkan ramai pihak apabila membuat pengumuman bahawa majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada 18 Ogos depan terpaksa dibatalkan.

Sebelum ini, Mimi mencuri perhatian apabila tampil anggun dengan gaun berwarna merah hati dalam satu majlis istimewa,  ‘Bachelorette Party’ yang dihadiri teman rapatnya seperti, Fazura, Nabila Huda, Sherry Al Hadad, Azira Syafinaz dan ramai lagi.

 

Salma Syahbuddin