Munafik 2 Kutip RM 40 Juta, Syamsul Yusof Terus Demam Terkejut?

Pengarah filem Munafik 2, Syamsul Yusof meluahkan rasa syukur dengan kutipan filem berkenaan yang mencecah RM 40 juta.

Selepas 17 hari ditayangkan, angka itu dianggap sebagai pencapaian yang amat membanggakan untuk industri perfileman melayu.

“ Saya terus demam ketika minggu pertama filem ini mencatat kutipan hebat. Tak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini.

“ Alhamdulillah, apabila kembali sembuh, saya dimaklumkan pula Munafik 2 mendapat RM40 juta sepanjang 17 hari tayangan. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakan,” katanya kepada BH Online.

Tambah Syamsul, dia bersyukur dan berharap mesej filem ini sampai serta menjadi inspirasi kepada pendakwah di luar sana.

“Fenomena ini juga memberi semangat baharu buat saya dan penerbit lain untuk terus menghasilkan filem yang berkualiti,” katanya.

Filem genre seram Islamik itu yang juga filem ke-40 terbitan Skop Productions Sdn Bhd mencipta sejarah apabila mencatat RM3.6 juta pada hari pertama tayangan.

Dalam pada itu, Syamsul merancang Munafik 2 bakal memasuki pasaran di Indonesia dan Vietnam tak lama lagi.

“ Saya dapat merasai keterujaan peminat di Indonesia menanti tayangan filem ini. Berdasarkan statistik trailer filem ini di YouTube, 50 peratus tontonan adalah dari negara itu.

“Selain Indonesia, kami juga merancang memasuki pasaran Hong Kong dan Vietnam. Mengenai kutipan, saya hanya berserah kepada rezeki,” katanya.

Munafik 2 dibintangi barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi. Filem ke-10 arahan Syamsul itu menelan belanja RM2.9 juta.

SGMS Faida